IMAM MULAKAN LARIAN SOLO 500 KILOMETER

21imam
ALOR SETAR 21 Mei – Pelari solo, Nasir Abas, 62, mengotakan janji apabila memulakan larian sejauh 500 kilometer dari Stadium Shah Alam, Selangor hari ini selepas Kedah berjaya menjulang Piala FA buat kali keempat, semalam.
Imam Surau Al-Hijrah di sini memulakan larian pada pukul 8.30 pagi dan menyifatkan larian solo yang dilakukannya itu merupakan caranya untuk menterjemah sokongan tidak berbelah-bahagi kepada skuad Lang Merah.
“Setiap peminat mempunyai cara tersendiri untuk menyokong pasukan Kedah... saya minat berlari jadi saya gunakan cara ini untuk menunjukkan kegembiraan saya atas kejayaan Lang Merah membawa pulang Piala FA selepas sembilan tahun gagal melakukannya.
“Bagaimana pun saya bernasib baik kerana mendapat tajaan daripada syarikat minuman kesihatan Cellcode, Rizunads Creative Production dan sokongan daripada Volvo Owner Club Malaysia (VOCM) yang membolehkan larian solo ini dapat direalisasikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Nasir, dia berhasrat memecah rekod peribadi dengan menamatkan larian dalam tempoh enam hari berbanding 10 hari ketika Kedah bersaing di pentas final Piala Malaysia pada 2015 dan 2016.
“Hari ini saya menyasarkan untuk membuat larian sejauh 80 kilometer bagi memastikan rancangan untuk menamatkan larian dalam tempoh enam hari berjaya.
“Disebabkan umat Islam dijangka menyambut kedatangan Ramadan pada Sabtu ini, saya tiada pilihan selain perlu menamatkan larian dalam tempoh enam hari sahaja berbanding 10 hari sebelum ini,” ujarnya.
Tambahnya, larian solonya itu akan ditemani anak ketiganya, Norfadzeli, 30, sebagai faktor keselamatan.
Nasir pernah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2002 kerana berjaya berlari sejauh 1,754 kilometer dari Kelantan hingga Perlis selama 30 hari dan sekali lagi diiktiraf menerusi larian sejauh 2,068 kilometer dari Tawau, Sabah hingga Kuching, Sarawak selama 53 hari.
Pada Disember 2015, dia juga pernah berlari sejauh kira-kira 500 kilometer dari Stadium Shah Alam, Selangor hingga Stadium Darul Aman, di sini sebagai tanda sokongan dan terima kasih kepada pasukan bola sepak Kedah yang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor.
Ketika Kedah berjaya menamatkan kemarau menjuarai Piala Malaysia menentang Selangor pada tahun lalu, Nasir sekali lagi berlari sejauh 500 kilometer sebagai tanda meraikan kejayaan skuad Lang Merah.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan