KEDAH MENANG PENUH DRAMATIK

20dramatik
SHAH ALAM 20 Mei - Walaupun hilang khidmat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe ketika kempen Piala FA memasuki tempoh kritikal, namun Kedah masih mampu menjulang trofi selepas menewaskan Pahang 3-2 dalam aksi final penuh dramatik dan mendebarkan di Stadium Shah Alam, malam ini.
Mohd. Nidzam Adzha Yusoff yang menggalas tugas jurulatih sementara pada separuh akhir kedua menentang Terengganu, 13 Mei lalu selepas Cheng Hoe meletak jawatan untuk menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya menghadiahkan Piala FA keempat buat Kedah.
Dua jaringan Baddrol Bakthiar dan gol penyerang dari Denmark, Ken Ilso Larsen memastikan skuad Lang Merah mengulangi pencapaian 2008, 2007 dan 1996. Ini juga trofi kedua berturut-turut buat Lang Merah selepas Piala Malaysia 2016.
Bagaimanapun, kemenangan tidak diraih dengan mudah apabila Pahang memberi tentangan hebat sehingga wisel penamat, biarpun beraksi dengan 10 pemain selepas Francisco Insa Bohigues dibuang padang pada minit ke-33.
Di depan 80,000 penonton, Kedah membuka jaringan seawal minit ke-20 selepas Larsen menyempurnakan hantaran Mohd. Syazwan Zainon.
Pahang semakin tertekan apabila Bohigues dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua ekoran terjahan keras yang dilakukan terhadap Mohd. Rizal Mohd Ghazali.
Kedah memanfaatkan kelebihan berdepan 10 pemain lawan apabila menggandakan kedudukan menerusi Baddrol yang mengambil kesempatan dalam situasi kucar kacir di kawasan lawan dengan melakukan rembatan leret menewaskan penjaga gol Pahang, Wan Muhammad Azraie.
Ketinggalan 0-2 dan beraksi tanpa seorang pemain bagaimanapun tidak mematahkan semangat anak-anak buah Dollah Salleh, sebaliknya Pahang berjaya merapatkan jurang menerusi pemain dari Korea Selatan, Heo Jae-won pada waktu kecederaan.
Turun selaku juara 2014 dan 2006, Pahang bertindak garang sebaik sahaja babak kedua bersambung.
Begitupun, asakan demi asakan yang diatur Tok Gajah gagal menembusi gawang Kedah, sebaliknya Lang Merah meledak gol ketiga menerusi Baddrol pada minit ke-76.
Ketika Kedah menyangkakan kedudukan mereka sudah selesa, Sumareh mengejutkan pemain Hijau Kuning dengan merapatkan jurang pada minit ke-80 menerusi tandukan, malah selepas jaringan itu Pahang beberapa kali menguji pintu gol lawan.
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebelum ini mengesahkan Nizam, 49, akan diserap sebagai jurulatih tetap jika membawa Lang Merah muncul juara Piala FA.
Oleh : Fadhilul Izmel Ishak Dan Mohamad Rozaidi Zulkifli
Sumber : Utusan