YAKIN JULANG KEDAH



16yakin
ALOR SETAR 15 Mei - Pengendali Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff berjanji membawa Lang Merah terbang tinggi dalam pentas akhir Piala FA bertemu Pahang di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini namun meminta penyokong tidak meletakkan ‘harapan besar’ dibahunya.
Beliau yang memangku tugas ditinggalkan Tan Cheng Hoe sejak 30 April lalu berkata, penyokong Lang Merah sepatutnya sedar kedudukannya itu masih diuji apatah lagi perlu bersaing dengan jurulatih bereputasi seperti Dollah Salleh.
“Saya letak peluang 50-50 untuk Kedah memenangi Piala FA kerana sejak kebelakangan ini, Pahang menunjukkan peningkatan prestasi dalam setiap perlawanan sehingga berjaya mengalahkan juara musim lalu, JDT (Johor Darul Ta’zim) dalam aksi suku akhir.
“Laluan Kedah juga lebih sukar memandangkan Dollah Salleh mempunyai banyak pengalaman mengemudi pasukan dalam aksi final sedangkan saya pula, masih baharu... ini adalah tugasan pertama saya dalam aksi final sebagai jurulatih.
“Jadi, saya minta penyokong Lang Merah supaya faham kedudukan saya. Namun sudah tentu saya berjanji akan berusaha membimbing Lang Merah untuk terbang tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kedah pernah menjuarai Piala FA pada 1996 dan kemudian mengulanginya sebanyak dua kali berturut-turut sejak 2007 dan kejayaan pada 2008 adalah kali terakhir mereka melakukannya.
Mohd. Nidzam Adzha bagai­manapun menagih komitmen dan disiplin yang tinggi daripada setiap pemain dalam perlawanan akhir nanti bagi merealisasikan impian untuk membawa pulang Piala FA untuk kali keempat selepas sembilan tahun gagal melakukannya.
Sementara itu, Ketua Pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari yakin semangat berpasukan yang dimiliki pemain Lang Merah akan menjadi kekuatan untuk mereka mengatasi skuad Tok Gajah pada Sabtu ini.
“Saya percaya Kedah mempunyai peluang untuk mengatasi Pahang dengan semangat berpasukan yang kami kekalkan selama ini. Namun, setiap pemain perlu bijak memanfaatkan peluang yang dimiliki supaya tidak berputih mata seperti aksi final Piala FA pada 2010 ketika bertemu Negeri Sembilan,” katanya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan