IBU MUDA DERITA TUMOR OTAK



23ibu
PADANG SERAI 23 Mei - Seorang ibu kepada enam anak masih bersekolah berdepan masalah kewangan untuk membiayai kos rawatan penyakit dihidapinya sejak 2015.
Haniza Omar, 36, berkata, dia sebelum ini sering membantu suami, Norhisham Ghazali, 49, yang berstatus OKU selepas terlibat kemalangan pada 2013 untuk menyara anak berusia antara 4 hingga 17 tahun dengan menjual kek dan kuih.
Bagaimanapun katanya, sakit kepala kerap menyerang yang awalnya disangka migrain, menjadi semakin teruk apabila dia sering pengsan dan terkena sawan.
“Mula saya sakit kepala, bila periksa doktor cakap ada migrain. Lama-lama saya kerap pengsan dan sawan. Saya terus dapatkan rawatan di klinik. Doktor beritahu ada ketulan di otak dan rujuk ke Hospital Kulim,” katanya.
Menurut Haniza, doktor mengesahkan ada sesuatu di bahagian kepalanya, namun tidak jelas dan terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
“Saya buat ujian imbasan (MRI) yang pertama, tapi tak jelas. Pada 2016 saya buat lagi dan doktor sahkan ada ketulan di sebelah kiri otak. Doktor cadang saya buat kemoterapi, tapi keadaan saya makin teruk sebab selalu asma sampai terpaksa tangguh,” katanya.
Tambahnya, dugaan dihadapinya tidak terhenti di situ apabila doktor mengesahkan dia mengalami masalah bengkak hati dan perlu dibuang segera.
“Ingatkan masalah di otak saja, tapi doktor beritahu sebahagian hati dan hempedu perlu dibuang dengan kos RM15,000 selepas buat rayuan. Lebih 100 batu dalam organ turut dibuang. Sampai sekarang kos bedah tak habis bayar. Walau masjid ada bantu, suami terpaksa bayar ansur setiap bulan,” katanya.
Haniza berkata, pelbagai ujian menimpa apabila tumor otak itu merebak sehingga ke tulang belakang dan memaksanya melakukan pembedahan segera untuk mengelakkan lumpuh.
“Saya kena cepat buat MRI untuk bedah tulang belakang dengan kos RM800. Setakat ni suami tak mampu sebab tak cukup duit. MRI perlu dibuat segera untuk elak lumpuh. Saya juga perlu penyokong tulang berharga hampir RM700, tapi suami hanya beli penyokong tulang sementara di farmasi sebab tak mampu,” katanya.
Sementara itu, Norhisham berkata, dia sangat bersyukur kerana anak-anak amat memahami keadaan mereka sekeluarga apabila turut sama mencari duit poket.
“Alhamdulillah, anak-anak sangat memahami. Anak nombor dua (Nur Farahiyah Mashitah, 14) akan buat kek sebelum ke sekolah.
"Saya pula hantar ke kedai. Adiknya berusia 10 tahun (Abdul Fathur Rahim) mengayuh basikal keliling taman jual kek. Kalau nak harap gaji saya, hanya RM1,000 sebulan. Dengan keadaan sekarang saya tak mampu buat kerja berat,” katanya.
Kata Norhisham, mereka hanya bergantung kepada pendapatan RM1,000 sebulan, bantuan bulanan JKM untuk anak-anak RM450 dan barang keperluan harian diberi pejabat zakat setiap bulan.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh hubungi Haniza di talian 011-24062409 bagi membantu menampung kos rawatan dan keperluannya.
Oleh : Jamilah Hamzah
Sumber : Sinar