141 EKOR TENGGILING DIRAMPAS



24ekor
ALOR SETAR 24 Mei – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah berjaya merampas 141 ekor tenggiling selepas menyerbu sebuah rumah di Taman Desa Seraya, di sini semalam.
Pengarah Perhilitan negeri, Inche Ali @ Muhammad Ali Che Aman berkata, serbuan kira-kira pukul 2 petang itu dilakukan selepas pihak polis menerima maklumat yang premis kediaman berkenaan dijadikan tempat penyimpanan haiwan tersebut.
“Berdasarkan aduan yang diterima PDRM semalam, sebanyak tujuh anggota polis bersama empat anggota Jabatan Perhilitan membuat pemeriksaan di premis kediaman tersebut sebelum me­nemukan 141 ekor tenggiling (ma­nis javanica) terjadual di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Semasa penggeledahan di­buat, lelaki berketurunan Cina yang menyewa rumah tersebut tiada di rumah dan pemilik premis kediaman dipanggil memberi keterangan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Inche Ali @ Muhammad Ali berkata, pihaknya sedang men­jalankan siasatan lanjut dan ji­ka sabit kesalahan di bawah sek­syen 68(2)(a) boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Katanya, kesemua tenggiling tersebut akan dilepaskan semula ke habitat asal selepas pihaknya mendapat perintah pelupusan da­ripada mahkamah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin ke­tika dihubungi berkata, pi­haknya merampas kesemua te­ng­­giling hidup serta pelbagai ba­rangan seperti bakul, pe­nimbang dan jaring yang diper­cayai ada kaitan dengan kes ter­sebut sebelum menyerahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lan­jut.
Sumber : Utusan