BERAPA KALI KAMI PERLU ROBOH?



24berapa
JITRA 24 Mei - Seramai 24 pemilik rumah di Taman Seri Kemuning II, di sini tidak berpuas hati dengan dakwaan pihak pemaju dan tuan tanah bahawa penduduk menceroboh sebahagian tanah milik mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ahmad Abdullah berkata, dakwaan pemilik tanah itu menyebabkan penduduk tertanya-tanya di manakah tanah yang berstatus simpanan jalan yang sudah digazetkan seperti dalam geran.
Menurutnya, penduduk difahamkan tanah itu akan dibangunkan kawasan perumahan baharu.
"Pada 2013, penduduk pernah dapat arahan sama daripada tuan tanah untuk robohkan satu meter kawasan rumah yang kononnya melanggar kawasannya.
“Memandangkan usaha kami pertahankan tanah tak berhasil, jadi kami akur. Tahun lepas, tuan tanah sekali lagi datang bersama juruukur untuk buat sukatan. Hairannya, sukatan yang dibuat melebihi lagi dua setengah meter ke dalam kawasan rumah kami. Macam mana sempadan tanah boleh berubah-ubah?,” katanya.
Ahmad berkata, lebih mengejutkan beberapa hari lalu, mereka mendapati pemaju telah mengorek longkang di belakang rumah mereka dengan menggunakan jentera tanpa sebarang amaran atau notis.
"Waktu itu kami terpaksa bertegas untuk pertahankan rumah. Apa yang mengejutkan, ada tanda baru iaitu beberapa inci saja dari dinding rumah.
"Bila tanya pekerja jentera, katanya mereka akan korek tanah sehingga ke tanda itu," katanya.
Katanya, sebelum ini pemaju pernah mendakwa kawasan perumahan itu tidak ada tanah simpanan walaupun bukti di dalam geran adalah sebaliknya.
"Semua penduduk dah duduk sini sejak 1985 lagi. Pada 1987 kami dah dapat pelan setara tambahan bangunan rumah yang diluluskan Majlis Daerah Kubang Pasu.
"Tapi pada hari ini, semua itu hilang ke mana? Kalau penduduk bersalah bina rumah atas tanah simpanan pun, itu hal kami dengan kerajaan. Kalau tak boleh bina, macam mana pula pemaju boleh bina tembok atas tanah itu pula?," katanya.
Seorang penduduk, Norlela Ismail, 46, berkata, situasi itu menyebabkan mereka hidup dalam keadaan tidak tenang.
“Bila-bila masa saja mereka boleh robohkan dinding rumah kami. Baru-baru ini, longkang rumah saya dah dipecahkan. Mujur masa itu ayah sedar dan cepat halang pekerja mereka.
"Berapa kali kami kena akur dan terus robohkan? Kalau mereka terus korek tanah di belakang rumah, longkang rumah pun tak ada lepas ini," katanya.
Che Ah Razak, 68, pula berkata, ketika diminta dirobohkan kali pertama dahulu dia, mengeluarkan kos sebanyak RM30,000 untuk kedua-dua buah rumahnya.
“Kalau kali ini perlu roboh lagi, mana nak cari duit? Kami bukan orang kaya. Pampasan pun tak bagi.
“Tanda baru yang pemaju katakan pula sangat dekat dengan dinding rumah. kalau berlaku apa-apa kecemasan, kami tak ada jalan untuk selamatkan diri,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP), Mohd Fisol Md Noh berkata, beliau telah mengarahkan pegawainya menyiasat kes berkenaan.
“Sebenarnya, sebelum tindakan diambil, pemaju perlu merujuk kepada MDKP terlebih dahulu,” katanya.
Oleh : Roshila Murni Rosli
Sumber : Sinar