KFA BERSEDIA BERUNDING



4kfa
ALOR SETAR 4 April - Walaupun berat hati untuk melepaskan jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menyertai kem kebangsaan namun Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bersedia mengadakan rundingan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, rundingan perlu dilakukan antara kedua-dua pihak bagi membolehkan kata sepakat mengenai status Cheng Hoe dapat dicapai.
“Pihak FAM perlu berjumpa dengan KFA untuk mengadakan rundingan untuk mencapai kata sepakat yang baik demi pembangunan bola sepak Kedah dan negara.
“Kita minta pihak FAM supaya menimbang tara mengenai ahli gabungan yang bersusah-payah untuk membangunkan bola sepak negeri.
“Pelbagai cabaran yang kita tempuhi...komitmen kerajaan negeri yang banyak membantu persatuan (KFA) terutama dari sudut kewangan bagi mengilap bakat baharu sebelum menemukan pemain dan jurulatih yang baik sehingga mereka sampai ke peringkat nasional,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, diharapkan FAM dapat melihat pengorbanan besar yang dilakukan ahli gabungan untuk meningkatkan mutu bola sepak negeri.
Dalam pada itu, beliau mengesahkan pihaknya masih belum menerima permohonan rasmi daripada FAM berhubung lantikan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih kebangsaan.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan