40 PELAJAR SERTAI PROGRAM PIDATO



5pelajar
KULIM 4 April –Unit Pembangunan Pelajar dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Kolej Komuniti Kulim menganjurkan program Event Talk 2017 yang berlangsung dengan jayanya di kolej berkenaan di sini baru-baru ini.
Seramai 40 peserta mewakili JPP dari Kedah dan Perlis me­­n­yer­tai program pidato yang bertemakan kepimpinan itu.
Pengarah Kolej Komuniti Kulim, Ruzita Md. Yusoff berkata, hanya empat pelajar dipilih sebagai pemenang daripada empat kategori yang dipertandingkan bagi mewakili negeri itu.
"Melalui idea masing-masing, mereka petah bercakap pelbagai isu semasa. Setelah ada keyakinan diri, seseorang boleh mengeluarkan pelbagai pendapat ketika berpidato dengan begitu bernas dan baik sekali. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebung," katanya.
Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari.
Johan bagi kategori Yang Dipertua menjadi milik Muhammad Haikal Arzehat dari Kolej Komuniti Jerai sementara Naib Yang Dipertua, Amirah Safraa Zambri (Kolej Komuniti Kulim), Setiausaha, Mohd. Firdaus Abd. Majid (Kolej Komuniti Baling) dan Bendahari, Zaid Irfan Mohd. Fazir (Kolej Komuniti Kulim).
Sementara itu, Amirah Safraa ketika ditemui berkata, banyak cabaran terpaksa dilalui untuk menjadi seorang pemidato yang baik dan berkualiti.
"Sekiranya ingin menjadi pemidato yang hebat dalam semua hal, seseorang perlu berpengetahuan luas dan peka de­ngan isu-isu semasa serta tidak lagi bergantung pada teks ucapan di atas sebarang tajuk yang diberikan.
"Bagaimanapun, kejayaan dalam satu-satu pertandingan pasti menjadi mudah apabila kita pandai dan berani mengeluarkan pendapat tanpa rasa takut dan bimbang hasil daripada amalan suka membaca yang dijadikan salah satu aktiviti harian dalam kehidupan,” katanya.
Sumber : Utusan