JUALAN AMAL BANTU BINA SURAU



12jualan
SUNGAI PETANI 12 April – Jualan amal bagi mengumpul dana pembinaan Surau Kompleks Pendidikan Dar Al Maarif yang dianjurkan Econsave dengan kerjasama Sinar Harian serta 17 badan bukan kerajaan (NGO) diteruskan.
Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, jualan amal ini melibatkan pakaian seperti baju kurung baru dan terpakai, barangan aksesori, barangan keperluan harian, cenderahati dan lain-lain yang boleh dijual semula dengan harga bermula RM2.
Menurutnya, selain jualan barangan dengan harga murah, pihaknya juga mensasarkan kutipan wang tunai melalui tabung yang disediakan bagi menjayakan projek berkenaan.
“Selain memohon orang ramai datang mendapatkan produk dengan harga murah, kami juga mengalu-alukan sumbangan barangan dan wang tunai bagi menjayakan pembinaan surau di pusat pendidikan itu yang kini hanya menggunakan ruang lapang terbuka sebagai ruang untuk solat berjemaah.
"Dalam masa sama, ruang solat itu juga digunakan oleh pelajar di kompleks berkenaan seperti mengadakan perhimpunan dan aktiviti riadah berikutan keluasan ruang tersebut boleh memuatkan bilangan pelajar yang ramai," katanya.
Katanya, barangan yang dijual adalah hasil sumbangan pelbagai pihak serta NGO yang ingin menjayakan projek tersebut.
“Sehingga ke hari ini, kami masih mengalu-alukan lebih ramai penyertaan sama ada ingin menghantar barangan yang ingin dijadikan barangan jualan mahupun datang sebagai pembeli. Barangan termasuk barang elektrik, perabot, makanan atau apa sahaja yang ingin di sumbang diterima.
“Setiap barangan dijual serendah RM2 dengan harapan mampu kumpul sejumlah dana untuk diserahkan kepada pihak pengurusan pusat berkenaan,” katanya.
Tambahnya, pihaknya menjangkakan jualan amal berterusan sehingga penghujung bulan ini dan bergantung kepada jumlah dana yang diterima, sekiranya perlu, ia akan dipanjangkan sehingga bulan berikutnya.
Bagi mana-mana peserta yang ingin mengambil bahagian, boleh ke Econsave Taman Patani Jaya di mana jualan amal berlangsung dan lokasi barangan jualan dikumpulkan termasuklah mereka yang ingin membantu dalam bentuk wang ringgit juga boleh berbuat demikian melalui tabung disediakan.
Jalinan kerjasama bertemakan Econsave Prihatin dan Sinar Di Hati ini merupakan kerjasama kali keempat selepas kejayaan membantu Madrasah Nagore, Butterworth, Maahad al Iman Lil Ulumil Quran dan Program Sumbangan Bantuan kepada 150 penerima tahun lalu.
Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Zamzuri di talian 019-281 8877.
Sumber : Sinar