LALUAN PENDUDUK ROSAK TERUK



12laluan
JITRA 12 April - Penduduk di Kampung Cherok Na, Mukim Pelubang, dekat sini, kecewa apabila projek Rancangan Tebatan Banjir di kampung itu merosakkan jalan kampung mereka.
Penduduk mendakwa sejak projek itu dijalankan, laluan mereka rosak dan becak hingga menyebabkan mereka terpaksa berhati-hati setiap kali melalui jalan itu.
Mohd Zaid Zaharin, 25, berkata, pihak kontraktor sepatutnya membina laluan baru untuk penduduk di situ selepas projek itu tamat.
Menurutnya, sebelum projek itu dibina, jalan kampung berkenaan diturap sepenuhnya dan tidak pernah timbul sebarang masalah.
"Lepas saja projek RTB dimulakan, jalan ini rosak. Sekarang becak pula, saya yang tinggal di luar kampung ini datang setiap hari untuk menoreh getah dan berdepan kesukaran taip kali musim hujan.
“Difahamkan selepas masalah itu disiarkan di Sinar Harian tahun lalu, pihak berkenaan ada baiki jalan ini tapi hanya tabur batu sejauh dua kilometer, sebahagian lagi tak dibaiki," katanya.
Tambahnya, keadaan jalan yang licin dan becak itu menyebabkan kenderaan sering tersangkut di jalan berkenaan hingga kadang kalanya terpaksa orang kampung beri pertolongan.
Dalam nada sama, Nor Shazwani Radzuan, 25, berkata, selepas projek itu berakhir penduduk lega kerana menjangka jalan sepanjang empat kilometer akan dibaiki pihak berkenaan.
Bagaimanapun sehingga hari ini difahamkan belum ada sebarang tindakan diambil walaupun projek itu sudah pun berakhir.
“Penduduk sedih dengan tindakan pihak berkenaan kerana projek itulah penduduk terpaksa mengharungi kesusahan setiap hari. Bayangkan dengan keadaan gelap pada awal pagi ada saudara saya yang berkhidmat di masjid berdekatan terpaksa ke luar awal sebab nak redah jalan becak ini.
“Difahamkan juga ada penduduk di situ terpaksa menyewa ke luar dari kampung kerana masalah jalan yang teruk hingga menjejaskan aktiviti harian mereka. Pernah beberapa kali kereta kecil hampir terbabas masuk ke tali air sebab cuba mengharungi jalan becak itu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cherok Na, Aminudin Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah pun dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bahawa projek itu belum lagi berakhir.
Katanya, pihak berkenaan sudah memberi jaminan bahawa jalan sepanjang kampung itu akan dibaiki sepenuhnya seperti sebelum ini.
"Oleh itu penduduk diharap bersabar dan kerja membaik pulih akan dilakukan nanti," katanya.
Sumber : Sinar