ATLET, JURULATIH TERIMA INSURANS



7atlet
ALOR SETAR 6 April – Kerajaan negeri akan memberi perlindu­ngan insurans berkelompok kepada semua atlet dan jurulatih bagi menjaga kebajikan mereka yang berjasa kepada negara khususnya Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pemberian perlindungan insurans berkelompok menerusi Majlis Sukan negeri itu akan dapat dinikmati semua atlet dan jurulatih di peringkat atlet elit, pelapis dan bakat Kedah.
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan amanah, kita memandang serius soal kebajikan atlet yang banyak berjasa kepada negeri dan negara. Kerajaan negeri amat cakna dan prihatin terhadap risiko yang ditanggung atlet dan jurulatih serta keluarga mereka ketika bertanding mahupun berlatih demi mengharumkan nama Kedah.
“Anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah Darul Aman (PKNK) milik kerajaan negeri iaitu Syarikat KSDC Insurance Brokers Sdn. Bhd. akan menjadi pembekal kepada perkhidmatan perlindungan kemalangan berkelompok ini.
“Selain itu, Majlis Sukan ne­geri dan KSDC Insurance Brokers juga akan mencari lebih banyak ruang persefahaman bersama yang boleh diwujudkan dari semasa ke semasa,” katanya selepas majlis Pelancaran Blueprint Pembangunan Sukan Kedah dan majlis Menanda­tangani Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara Majlis Sukan Kedah dengan Syarikat KSDC Insurance Brokers Sdn. Bhd., di sini hari ini.
Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan negeri, Datuk Aminuddin Omar dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Shapawi Ismail.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, pihaknya yakin pelancaran Blueprint Pembangunan Sukan Kedah dapat melonjakkan mutu sukan dan seterusnya menunjukkan prestasi cemerlang dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Johor pada 2020 nanti.
“Pelan tindakan yang me­ngambil masa setahun penghasil­annya itu adalah hasil resolusi Konvensyen Transformasi Sukan Negeri Kedah pada Disember 2015. Kovensyen itu mengupas permasalahan, cabaran dan masa depan sukan di Kedah terutama yang berprestasi tinggi.
“Saya pasti dokumen ini menjadi panduan kepada semua pemegang taruh sukan di Kedah serta menjadi model pelaksanaan pembangunan sukan negeri,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menumpukan dari segi pembangunan prasarana dan peralatan sukan bagi membantu pembangunan atlet di negeri ini.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan