LELAKI SAKIT SARAF MOHON BANTUAN



17lelaki
ALOR SETAR 17 Mac - Seorang pemuda yang menghidap sakit saraf menyebabkan beliau tidak berupaya melakukan kerja berat, memohon Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meluluskan bantuan bulanannya.
Badrul Hisham Ahmad Hanafiah, 32, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan RM200 sebulan berkata: Walaupun tangan dan kaki saya menggeletar dan tidak berupaya membuat kerja berat, saya tetap kena bekerja bagi mencari sesuap nasi."
Beliau berkata segalanya bermula apabila beliau terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika berusia 11 tahun apabila dilanggar kereta ketika melintas jalan untuk mengambil buah mempelam di hadapan rumahnya.
"Akibat kejadian itu saya koma selama dua bulan, namun tangan dan kaki saya pula lemah dan menggeletar serta tidak mampu mengangkat atau membuat kerja berat, malah tidak kuat berjalan akibat gangguan saraf.
"Saya terpaksa menguruskan hidup sendiri selepas kematian nenek pada 2012. Sejak berusia lima tahun saya menetap bersama nenek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan setelah ibu saya meninggal dunia, manakala bapa pula menghilangkan diri," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Sumber : Utusan