GUSAR BEKALAN AIR TERGANGGU



1gusar
KULIM 1 Mac - Gangguan bekalan air yang berlaku di beberapa kawasan nyata menyukarkan penduduk apabila mereka mendakwa tidak menerima notis daripada Syarikat Air Darul Aman (Sada), semalam.
Seorang penduduk Taman Sri Mahkota, Wan Zuhaizi Hairi Wan Zamri, 21, berkata, dia hanya menyedari bekalan air di rumah sewanya terputus ketika ingin mandi kira-kira jam 7 pagi.
“Memang mengganggu rutin harian kami, tak ada sebarang notis makluman mengenai gangguan bekalan air hari ini (semalam).
“Bangun pagi tadi nak mandi pergi kerja baru tahu air tak ada, semua kawan-kawan hanya dapat cuci muka dan gosok gigi untuk ke tempat kerja,” katanya.
Katanya, sepatutnya pihak Sada mengeluarkan notis awal untuk pengguna membuat persediaan sepanjang bekalan air terganggu.
“Kalau dapat notis senanglah kami simpan air banyak-banyak, ini apa pun tak sempat,” katanya.
Manakala, seorang lagi penduduk Kampung Padang Limau, Noryanti Ishak, 35, turut gusar dengan keadaan tersebut.
“Saya ini sudahlah ada anak kecil, kolah yang ada dekat rumah pula kecil, air pun tak sempat nak simpan.
“Anak kecil ini biasalah nak mandi lagi nak basuh najis lagi, memang susahlah, terpaksa pula kami pergi beli air bersih di mesin air,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, masalah gangguan bekalan air itu berpunca daripada masalah teknikal di bahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hi-Tech pada jam 9 malam, kelmarin.
“Kerja baik pulih telah dibuat sejak semalam (malam, kelmarin) dan berjaya disiapkan jam 3.30 pagi tadi (semalam). Sepatutnya pada pagi ini (semalam) bekalan air di semua kawasan perumahan sudah ada seperti biasa.
“Kita juga dapat makluman kawasan rendah telah terima bekalan air seperti sedia kala, namun kawasan tinggi mengambil masa sedikit dan selewatnya malam ini,” katanya.
Tambahnya, pihak Sada telah menghantar bekalan air melalui lori kepada kawasan-kawasan terlibat.
Sumber : Sinar