46 CALON STPM CAPAI PNGK 4.0



1calon
SUNGAI PETANI 28 Februari - Seramai 46 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Kedah cemerlang dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 bagi tahun 2016 berbanding 24 orang sahaja pada tahun 2015.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Sofaruddin Ismail berkata, peningkatan itu menunjukkan minimun purata negeri Kedah meningkat 0.01 peratus sahaja bagi 2016 iaitu 2.77 berbanding 2.76 bagi tahun 2015.
Sementara itu, katanya, sebanyak 43 buah sekolah di negeri ini telah berjaya mencapai 100 peratus lulus penuh di mana 16 buah sekolah kategori luar bandar dan 27 buah sekolah dari kategori bandar.
"Prestasi calon STPM 2016 negeri ini mendapat lulus penuh ialah sebanyak 98.9 peratus, pencapaian negeri Kedah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.36 peratus jika dibandingkan dengan peratusan nasional iaitu 98.54 peratus," katanya semasa sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Che Tom semalam.
Beliau berkata, berdasarkan prestasi calon mengikut mata pelajaran, didapati lapan mata pelajaran meningkat prestasi dalam STPM 2016 berdasarkan peratusan calon yang lulus penuh berbanding STPM 2015.
Bagaimanapun, sebanyak 11 mata pelajaran menurun prestasi dalam STPM 2016 berbanding STPM 2015.
"Seorang pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dan menerima Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2016 ialah Chow Wai Loon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang.
"Manakala sekolah yang menerima Anugerah Sekolah Terbaik STPM 2016 di Kedah ialah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sin Min, Sungai Petani dengan pencapaian gred purata sekolah (GPS) 3.30," katanya.
Antara sekolah yang mempunyai bilangan pelajar cemerlang PNGK 4.0 paling ramai ialah Kolej Tingkatan Enam Kulim (A) iaitu seramai lapan orang.
Oleh : Siti Zubaidah Zakaraya
Sumber : Sinar