10 NEGARA BAHARU SERTAI LIMA 17

24lima
LANGKAWI 24 Februari - Pameran Udara dan Ma­ri­tim Antarabangsa Langkawi (LIMA 17) pada 21 Mac hingga 25 Mac ini mendapat sambutan luar biasa apabila menyaksikan penyertaan 36 buah negara termasuk 10 buah negara baharu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pameran itu juga kini menjadi lebih menarik dengan penglibatan agensi dan kementerian lain secara inklusif.
Kata beliau, pihaknya berharap penduduk khususnya di negeri ini mengambil manfaat terhadap penganjuran pameran tersebut yang disifatkan bukan sahaja unik tetapi juga terbesar kerana mempamerkan industri maritim dan aeroangkasa di rantau ini.
“Kita mahu LIMA menjadi pameran inklusif melibatkan kementerian lain dan rakyat, bukannya hak mutlak Kementerian Pertahanan sahaja. Kita berharap melalui penglibatan ramai pihak, jangkaan nilai kontrak ditandatangani kali ini melebihi LIMA lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau dan mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kabinet mengenai LIMA 17, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pe­ngangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharom; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Hishammuddin berkata, sebanyak 40 peratus ruang pa­meran telah ditambah berbanding pe­nganjuran sebelumnya dan setakat ini 95 peratus ruang tersebut sudah dijual.
“Ia merupakan satu kejayaan dalam usaha kita mewujudkan kerjasama antara semua pihak khususnya ketika dunia sedang berhadapan dengan perkemba­ngan ekonomi dan geopolitik yang mencabar dan kompleks,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Malaysia berhadapan dengan kelemahan matawang ringgit dan beberapa faktor lain yang melembabkan ekonomi negara namun sebahagian besar syarikat tetap yakin kepada prospek perniagaan dalam LIMA serta Malaysia secara keseluruhannya.
Hishammuddin juga menjelaskan, Rusia merupakan negara peserta terbesar diikuti Amerika Syarikat (AS), Jerman dan United Kingdom.
“Selain itu, LIMA juga akan dimeriahkan dengan pertunjukan udara oleh dua pasukan aerobatik antarabangsa iaitu Black Eagle dari Korea Selatan dan Sarang dari India. Ini merupakan penyertaan kali pertama kedua-dua pasukan tersebut,” katanya.

Oleh : Sharilfuddin Saari
Sumber : Utusan