TERIMA ALAT TULIS PERCUMA



2terima
SIK 2 Januari - Kerajaan negeri menerusi Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) mengagihkan sebanyak 1,500 peralatan menulis kepada murid tahun satu di 24 buah sekolah kebangsaan di daerah ini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Ban­dar dan Pembasmian Ke­mis­kinan, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, sumbangan itu adalah sebahagian usaha kerajaan nege­ri untuk menyuntik semangat ka­nak-kanak yang baharu memasuki alam persekolahan.
“Sumbangan peralatan sekolah ini bertujuan untuk meraikan anak-anak kita supaya mereka lebih bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh. Diharapkan sumbangan ini dapat memotivasikan mereka untuk datang ke sekolah setiap hari.
“Bantuan ini juga menunjukkan kerajaan negeri sentiasa mengambil berat tentang pendi­dikan rakyat di negeri ini kerana mereka adalah pemangkin kemajuan negara,” katanya selepas menyerahkan bantuan peralatan persekolahan kepada murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan Jeneri, di sini semalam.
Sementara itu, pasangan kembar, Nurfaizah Hanim Hamzah dan Muhammad Fitri Hanafi mengakui berasa gembira dan teruja dapat memasuki alam persekolahan kerana berpeluang berkenalan dengan rakan baharu.
“Awal pagi lagi kami berdua bersiap-siap untuk ke sekolah dan kami tidak sabar untuk memulakan pelajaran baharu pada pagi ini. Lagi seronok sebab dapat alat tulis dan pensil warna percuma hari ini,” kata Muhammad Fitri Hanafi yang lebih petah berkata-kata daripada adiknya.
Oleh : Norlia Ramli
Sumber : Utusan