KEDAH TETAP DAFTAR NAMA RIZAL



13kedah
KUBANG PASU 13 Januari - Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) tetap mendaftarkan nama Mohd. Rizal Gha­zali dalam skuad Lang Merah untuk saingan Liga Super 2017 di sebalik konflik berkaitan kontrak pemain pertahanan kanan itu bersama Felda United masih belum selesai.
Pengendali Lang Merah, Tan Cheng Hoe berkata, KFA telah menjalankan tugas mereka mengikut peraturan iaitu mendaftarkan nama pemain dari Baling itu dan kini menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memutuskan statusnya.
“Soal Mohd. Rizal ini saya serahkan kepada pihak pengurusan (KFA). Tetapi kita sudah daftarkan nama dia sebagai pemain Kedah. “Sebabnya pada kami, kontrak dia bersama Felda United tidak sah.
Bagaimanapun, kami akan rujuk dengan FAM terlebih dahulu. “Kami berharap dapat turunkan dia dalam perlawanan pertama menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) nanti dan yang penting, saya berharap dia boleh fokus,” katanya selepas Majlis Memper­kenal Penaja dan Pelancaran Pasukan Kedah Darul Aman 2017 di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, KFA turut mengikat dua pemain import baharu iaitu Zachary Michael Anderson dari Australia dan Ken Ilso Larsen dari Denmark. Sementara itu, kejayaan Lang Merah merangkul Piala Malaysia 2016 yang lalu menyemarak rasa semangat pasukan itu untuk me­nyasar ‘trofi baharu’ pada musim ini. Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, Piala Super dan Piala FA adalah sasaran utama sekali gus melayakkan Kedah untuk ke Piala AFC.
“Insya-Allah... kami mahu mengekalkan Piala Malaysia pada tahun ini dan pada masa sama, merebut piala lain yang dipertandingkan.
“Pada tahun ini, kami memperuntukkan RM27 juta untuk mengharungi musim ini yang mana Syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB) menjadi penaja utama selain mendapat tajaan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA), Cosmic Express dan Al-Ikhsan,” jelas beliau.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan