CANTIK TAPI BERBAHAYA



3cantik
ALOR SETAR 3 Januari - Keindahan air kolam Gua Telur, Gunung Keriang, di sini sememangnya mampu menarik perhatian, namun tanpa disedari ia didakwa mengundang bahaya kepada pengunjung.
Tinjauan Sinar Harian mendapati air kolam berdekatan Kampung Gelong Air berkenaan seakan-akan berwarna kebiruan sekali gus memukau pandangan mata.
Penduduk, Samudin Abu Seman, 45, berkata, kolam air berwarna biru berkenaan sememangnya menjadi tumpuan kepada penduduk tempatan untuk bermandi manda.
"Kolam itu dah lama wujud. Mungkin dari zaman bapa atau datuk saya lagi dah ada.
"Sejak dulu, kolam itu selalu jadi tarikan penduduk untuk mandi manda. Malah, setiap hari pasti ada yang datang dan tak lepaskan peluang untuk nikmati kesegaran airnya," katanya.
Malah, katanya, kehadiran pengunjung terutamanya kana-kanak ke kawasan kolam berkenaan dipercayai bertambah terutamanya ketika musim cuti sekolah baru-baru ini.
"Namun ada kanak-kanak yang mungkin tak sedar yang paras air kolam itu dalam dan tak tahu ia mampu undang risiko.
"Sekarang ada orang dah lemas dalam kolam itu. Jadi saya bimbang keselamatan kanak-kanak yang berkunjung di situ dan mahu satu tindakan diambil," katanya.
Manakala, Mohd Shafiee Ismail, 42, berkata, mereka tidak menafikan keadaan kolam berkenaan sememangnya cantik dan memukau, malah kebiasaannya ia berwarna biru jernih.
"Keindahan dimiliki kolam berkenaan dilihat memiliki potensi untuk dibangunkan sebagai tarikan baru pelancong untuk ke kawasan tersebut.
"Difahamkan ada ikan jelawat dalam kolam berkenaan, sekali gus membuatkan lokasi berkenaan tidak lekang dari dikunjungi penduduk," katanya.
Namun begitu katanya, keadaan kolam berkenaan terlalu dalam sekali gus ia dikhuatiri berbahaya kepada orang awam untuk bermandi manda sesuka hati.
“Jikalau boleh, kami mohon dibina pagar kaca ataupun konkrit. Kemudahan itu tidak hanya menghalang bahaya, malah ia tetap memberi peluang kepada orang awam menyaksikan kejernihan air kolam itu,” katanya.
Manakala, Rosinah Nayan, 58, berkata, dia sering melarang penduduk khususnya anak muda dan kanak-kanak dari bermandi manda di dalam kolam terbabit.
“Sebelum ini, paras air lebih tinggi dan warna airnya lagi jernih. Namun, ia menurun sedikit apabila bomba guna pam untuk sedut air keluarkan mangsa lemas,” katanya kepada Sinar Harian.
Sumber : Sinar