SELUDUP PISTOL UNTUK JENAYAH



14seludup
ALOR SETAR 14 Disember - Empat suspek termasuk seorang polis wanita berusia 26 tahun yang ditahan selepas cuba menyeludup sepucuk pistol jenis Luger bersama 30 butir peluru hidup di Changlun dekat sini Ahad lalu dipercayai ingin menggunakan senjata itu bagi kegiatan jenayah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusof berkata, berdasarkan siasatan suspek pertama yang ber­usia 31 tahun iaitu suami anggota polis berkenaan bekerja sebagai pemungut hutang dan didapati mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

Tambahnya, suspek kedua yang berusia 41 tahun pula mempunyai rekod jenayah samun berkawan, ugutan jenayah dan serangan jenayah.

“Ujian saringan air kencing ke atas dua lelaki tersebut yang merupakan sepupu mendapati mereka positif dadah jenis metham­phetamine.

“Kita percaya pistol yang dibeli dan diseludup dari negara jiran itu akan digunakan untuk aktiviti jenayah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Empat individu yang ditahan itu berusia antara 26 hingga 41 tahun.

Asri memberitahu, suspek pertama dan isterinya serta suspek kedua pula bersama teman wanitanya menaiki dua kereta berasi­ngan iaitu Perodua Myvi dan BMW sebelum ditahan polis di lokasi tersebut pukul 10.40 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan, polis menemukan sepucuk pistol dan 30 butir peluru hidup di dalam kereta Perodua Myvi milik suspek pertama.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Isnin lalu untuk membantu siasatan,” katanya.

Akhbar melaporkan polis menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri selepas dipercayai cuba menyeludup sepucuk pistol bersama 30 butir peluru hidup di Kilometer 9.7 arah selatan Lebuh Raya Utara–Selatan dekat pekan Changlun di sini malam kelmarin.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan