ORKID BAGAIKAN TERAPI



14orkid
KUBANG PASU 14 Disember - Bunga anggerik atau lebih dikenali sebagai orkid adalah tumbuhan liar yang mempunyai habitat di kawasan hutan, namun kini banyak ditanam untuk menghiasi laman rumah, premis mahupun kedai.

Mokara, vanda, dendrobium, phalaenopsis dan oncidium an­ta­­ra jenis orkid diminati pel­­ba­­­­­gai lapisan masyarakat dan men­­­dapat permintaan ting­­­­gi dari dalam dan luar nega­ra.

Sifatnya yang cantik dan mu­dah dijaga membuatkan ramai orang terutamanya golongan wa­nita menjadikan aktiviti mena­nam tumbuhan liar tersebut sebagai hobi bagi memberi kepuasan kepada penggemarnya.

Pesara, Siti Fauziah Ridzuan, 59, berkata, hobi menanam bu­nga itu bagaikan memberi terapi kepada dirinya terutama apabila tumbuhan kesayangannya mula berputik.

“Minatnya terhadap bunga orkid berputik sejak lima tahun la­lu bagi menghias laman ru­mah­nya. Hobi menanam bunga ini bermula sebelum saya bersara lagi. Selain bunga orkid, saya ju­ga turut menanam bunga raya dan bunga kertas.

“Apabila melihat bunga-bunga yang pelbagai warna dan tumbuhan hijau, saya berasa nyaman. Itu semua bagaikan terapi kepada diri saya,” katanya ketika ditemui di Pesta Orkid dan Flora di sini baru-baru ini.

Menurut Siti Fauziah, dia sanggup datang dari Sungai Petani ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini semata-mata untuk menambah koleksi orkidnya.

“Untuk menambah koleksi sedia ada, pada hari ini saya sudah berbelanja kira-kira RM300 kerana terdapat kepelbagaian spesies orkid dan bunga-bungaan di pesta ini. Selain mempunyai banyak pilihan, saya juga berpuas hati dengan kualiti pokok (orkid) yang dijual di sini,” ujarnya.

Sementara itu, suri rumah, Azizah Ahmad, 53, mengakui pernah berbelanja sehingga RM1,000 untuk menambah ko­leksi orkid di laman rumahnya.

Menurut wanita dari Lunas, Kulim itu, dia tidak mahu keting­galan datang ke RTC semata-mata untuk melihat spesies orkid yang dijual di pesta ini.

“Di MAHA (Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia) terdapat lebih banyak spesies orkid dipamerkan termasuk jenis sukar didapati, namun saya tidak berkesempatan untuk ke sana.

“Jadi dapat datang ke pesta ini pun, saya sudah cukup gembira. Boleh cari pokok orkid untuk menambah koleksi hiasan di laman rumah,” katanya yang meminati bunga liar itu sejak menamatkan zaman persekolahan lagi.

Bagi peniaga orkid, Rosmadina Yaakub, 50, dia menjadikan tanaman itu sebagai mata pencarian kerana meminati bunga itu sejak 19 tahun lalu.

“Pada mulanya, saya mena­nam pokok orkid ini secara komer­sial untuk dijadikan bunga potong. Bagaimanpun, saya mula fokus menjual bunga orkid ini selepas tanaman saya musnah dalam kejadian banjir.

“Menjadikan minat sebagai kerja membuat saya berasa seronok. Apabila bertemu penggemar bunga orkid ini, kami juga boleh bertukar-tukar cerita dan petua untuk memastikan tumbuhan ini dapat hidup sihat dan cantik,” katanya.
Oleh : SITI NURAZLINA JAMALUDIN
Sumber : Utusan