JEMAAH BANTAH KEZALIMAN MYANMAR




    10jemaah
    BALING 10 Disember - Jemaah Masjid Kampung Charok Puteh, di sini, membantah tindakan kezaliman dan penindasan kerajaan Myanmar ke atas umat Islam Rohingya di negara itu.
    Atas rasa perikemanusiaan itu, jemaah masjid mengadakan bantahan aman selepas solat Jumaat, yang diketuai Imam Masjid Kampung Charok Puteh, Rashid Sudin.
    Himpunan dimulakan dengan bacaan doa oleh Rashid sebelum laungan Allahuakbar dilaungkan peserta.
    Mewarnai himpunan itu, pelbagai kertas yang tertera tulisan mendesak kerajaan Myanmar menghentikan pembunuhan.
    ‘Henti bunuh Rohingya’ dan ‘doa untuk Rohingya’ antara perkataan ditulis.
    Malah, perkataan ‘OIC sila bertindak segera’ iaitu pesanan yang merujuk kepada Pertubuhan Kerjasama Islam turut disampaikan peserta dalam himpunan itu.
    Rashid berkata, himpunan itu bagi menyampai mesej kepada kerajaan Myanmar agar segera hentikan pembersihan etnik Rohingya yang sedang berlaku.
    “Himpunan ini bagi mempertahankan saudara seagama kita yang dirogol dan dibunuh kejam oleh kerajaan Myanmar.
    “Kami pihak Masjid Kampung Charok Puteh menentang sekeras-kerasnya tindakan zalim Myanmar ke atas umat Islam Rohingya,” katanya, semalam.
    Beliau berkata, keganasan di Myanmar tidak mustahil berlaku di negara ini sekiranya masalah menimpa etnik Rohingya tidak dipedulikan.
    “Kita takut situasi di sana merebak ke negara ini, jika berlaku seperti di sana bagaimana dengan nasib orang tua dan kanak-kanak.
    “Nak lawan tidak mampu, jadi berdoalah agar seluruh dunia Islam selamat dari kacau bilau, di akhirat setiap umat Islam akan ditanya apa tindakan yang dilakukan untuk bantu saudara seagama,” katanya.
    Rashid berkata, semua kaum di negara ini sewajarnya mengambil iktibar dengan krisis kemanusiaan yang sedang berlaku di negara berkenaan.
    “Semua kaum perlu bersatu hati, walaupun berbeza agama tetapi ia bukan penghalang untuk semua untuk saling menghormati,” katanya.
    Sementara itu, Bilal 1, Mohd Noor Manas berkata, desakan seumpama itu akan diteruskan selepas ini.
    “Ini peringkat awal, pihak masjid akan buat bantahan lebih besar lagi selepas ini,” katanya.
    Sumber : Sinar