DEMI PERPADUAN KETEPI PERBEZAAN

15ketepi
ALOR SETAR 15 Disember - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini menyeru rakyat supaya senantiasa memelihara perpaduan dan persefahaman tanpa mengira perbezaan pegangan politik serta fahaman agama masing-masing.


Baginda sekali lagi menyuarakan harapan tentang perpaduan rakyat itu ketika bertitah dalam Istiadat Menjunjung Duli sempena Keberangkatan Pulang Sultan Kedah selepas tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Titah baginda, pemuafakatan itu penting demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat terutama ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika ini.

“Beta juga berharap rakyat senantiasa memelihara perpaduan persefahaman walaupun apa pegangan politik dan fahaman agama yang diamalkan berlainan antara satu dengan yang lain,” titah baginda.

Turut berangkat hadir, Sultanah Kedah, Tuanku Hajah Haminah Hamidun, Raja Muda Kedah yang baru dimasyhurkan, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah serta pegawai-pegawai kerajaan.

Tuanku Abdul Halim menzahirkan rasa bersyukur dengan pembangunan negeri ini yang kekal berkembang walaupun berlaku banyak peristiwa penting termasuk pertukaran tiga Menteri Besar sepanjang tempoh lima tahun dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

“Alhamdulillah beta berbangga dan berterima kasih di atas pemuafakatan yang berlaku oleh se­mua yang terlibat.

“Pandangan ini beta simpulkan memandangkan selama lima tahun beta berada di Kuala Lumpur berlaku pertukaran kerajaan ne­geri, pertukaran Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, pertukaran tiga menteri besar dan pertukaran tiga Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah,” titah baginda.

Baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri mempertingkatkan projek-projek yang memberi manfaat secara terus kepada rakyat dan mengamalkan per­belanjaan berhemah di dalam keadaan ekonomi yang lembab sekarang ini.

“Beta berharap kerajaan beta lebih peka terhadap permasalahan yang sedang dihadapi rak­yat sekarang ini dan mengambil langkah yang dapat menangani dan meringankan permasalahan tersebut,” titah Tuanku Abdul Halim.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada Isnin lepas dan keberangkatan pulang baginda ke Istana Anak Bukit pada Isnin lalu disambut dengan penuh gemilang.
Oleh : JAMLIAH ABDULLAH
Sumber : Utusan