IBU TUJUH ANAK PERLUKAN RUMAH



28ibu
KULIM 28 Disember - Seorang ibu tunggal yang tinggal menyewa bersama tujuh anaknya di kampung Padang Limau memohon bantuan rumah untuk didirikan di tanah miliknya.
Roziah Ahmad, 47, berkata, mereka sekeluarga memerlukan rumah sendiri kerana tidak mampu lagi untuk menanggung kos sewa memandangkan sumber pendapatan terhad.
Menurutnya, sebelum ini dia dan arwah suaminya membuka warung menjual roti canai dan minuman.
"Tapi selepas suami meninggal dunia September lalu akibat serangan jantung, kedai ini di tutup.
"Saya tak pandai buat roti canai. Sumber pendapatan pun tak seperti dulu hanya bergantung upah bekerja di kebun sayur sebanyak RM300 sebulan.
“Ada juga dua anak yang berusia 22 dan 18 tahun bantu sikit-sikit tapi bila sampai tengah bulan keperluan dapur habis terpaksa berjimat-jimat,” katanya.
Apa yang merunsingkan Roziah, lima anaknya masih belajar dan bersekolah, mereka memerlukan perbelanjaan yang banyak termasuk tambang bas sekolah.
“Lima anak saya masih belajar seorang di universiti swasta, tiga di sekolah menengah dan seorang di sekolah rendah.
“Nak buka sekolah tahun depan memang banyak duit nak guna, nasib baik dua anak saya dapat bantuan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) sebanyak RM200 seorang, guna duit itulah beli kelengkapan sekolah mereka,” katanya.
Tambahnya, sikap prihatin jiran, rakan dan masyarakat yang membantu sedikit sebanyak meringankan bebannya seisi keluarga.
“Alhamdulillah ada yang membantu juga bagi zakat, bantuan sikit-sikit dan kakak yang banyak membantu, namun selagi saya mampu berusaha sendiri saya akan lakukan,” katanya.
Katanya, dia juga terpaksa ikhtiar melakukan pelbagai pekerjaan sekiranya ada peluang dan waktu terluang sama ada malam atau pun siang.
“Memang tak cukup nak harap gaji saya di kebun sayur saja, kadang kalau musim kenduri kahwin saya pergi bekerja sambilan untuk katering, malam pula ada orang ajak saya bantu di kedai makan.
“Saya terpaksa lakukan semua ini untuk besarkan anak-anak sekolahkan mereka, bagi saya biarlah susah tapi pendidikan anak-anak perlu dititik beratkan,” katanya.
Oleh : Jamilah Hamzah
Sumber : Sinar