AGIH 1,200 BOTOL MINYAK MASAK



28agih
SUNGAI PETANI 27 Disember - Program amal jariah bekas Pegawai Pendidikan (PPD) Kuala Muda dikenali sebagai Cikgu Ghani dite­ruskan lagi dan kali ini beliau mengedarkan minyak masak percuma.
Ekoran itu pekarangan rumah Cikgu Ghani atau nama sebenarnya Abd. Ghani Haron, 60, dibanjiri penduduk setempat yang kebanyakannya wanita untuk menerima sumbangan tersebut seawal pukul 7 pagi.
Menurut Abd. Ghani, sebanyak 1,200 wanita menerima minyak masak melalui Projek Sedekah Jariah bernilai RM10,920 itu yang diagihkan di rumahnya di Kampung Masjid Tikam Baru di sini hari ini.
“Saya jemput mereka mengambil minyak masak itu selepas subuh. Kali ini, kita beri kepada kaum wanita sahaja.
“Bagaimanapun, minyak masak itu selesai diagih-agihkan kepada orang ramai sebelum pukul 8 pagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, selepas ini beliau bercadang memberi lampin pakai buang dan susu bayi pada Januari tahun depan.
Beliau juga merayu mereka yang berminat untuk sama-sama menjayakan sedekah secara berjemaah itu dapat menghulur sumbangan ikhlas melalui akaun Maybank 5574 1051 5106 miliknya dan selepas itu, pelbagai barangan yang difikirkan sesuai dapat diberi kepada penduduk yang memerlukan.
Oleh : Abd Razak Osman
Sumber : Utusan