RM600,000 DIPERUNTUKKAN RISDA

16risda
ALOR SETAR 16 Disember - Kos kelengkapan sekolah baru yang tinggi mencecah RM200 bagi setiap seorang murid untuk memulakan sesi pembelajaran 2017 didakwa membebankan segelintir ibu bapa.
Ketua Jabatan Yayasan Risda, Noor Azlan Abd Rahman berkata, menyedari kebimbangan ibu bapa, kira-kira RM600,000 diperuntukkan mereka untuk bantuan kelengkapan sekolah di seluruh Malaysia.
Menurutnya, pihaknya memberi bantuan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis kepada murid sekolah rendah terpilih daripada keluarga memiliki pendapatan isi rumah bawah RM3,000 ke bawah.
“Di Kedah, seramai 400 keluarga berkelayakan terdiri seperti anak pekebun kecil menerima sumbangan kelengkapan sekolah dianggarkan bernilai sekitar RM200 seorang itu.
“Malah, bantuan persekolahan dengan kerjasama Yayasan Taqwa sudah diberikan kepada pelajar di Perlis, Pahang, Kelantan dan akan disusuli Terengganu serta Perak nanti,” katanya.
Terdahulu, beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kelengkapan Persekolahan Sesi 2017 Peringkat Risda Negeri Kedah 2016 di Pejabat Risda Negeri Kedah di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Risda Kedah, Ahmad Bahari.
Tukang jahit, Aishah Hussain, 34, ibu bapa yang memiliki anak ramai terutamanya bersekolah perlu menampung kos lebih tinggi untuk barang keperluan sekolah.
"Tiga daripada empat anak saya masih bersekolah, jadi kami sekeluarga perlu membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk segala keperluan anak-anak.
"Saya dan suami perlu sediakan keperluan seperti baju seragam, kasut, beg sekolah, alat tulis dan buku baharu untuk anak kami," katanya kepada Sinar Harian.
Namun katanya, beban yang dipikul diringankan apabila anak keduanya, Fatin Nur Sofea, 12, menerima bantuan kelengkapan sekolah baharu.
Rozyana Said, 37, pula berkata, dia gembira dan seronok apabila anak bongsu daripada dua beradik terpilih menerima bantuan kelengkapan memandangkan mereka hanya menyara hidup dengan menoreh getah.
"Disebabkan ada barang keperluan sekolah dah lusuh, malah ada yang dah tak muat untuk dipakai, kita perlu sediakan untuk kegunaan anak.
"Saya dan suami, Zakaria Mat Taib, 42, sememangnya terkesan apabila perlu membelanjakan kos kelengkapan sekolah baru meliputi baju sekolah, beg dan kasut yang mencecah sehingga RM200," katanya.
Sumber : Sinar