TAK JANJI ‘BULAN, BINTANG’




31juara
ALOR SETAR 15 November - Juara Piala Malaysia, Kedah enggan menabur pelbagai janji, termasuk gaji lumayan hanya untuk mengikat enam pemainnya yang sudah tamat kontrak agar kekal bersama skuad Lang Merah.
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah pun mengeluarkan surat tawaran kepada semua pemain tersebut, sekali gus mengesahkan masih berminat untuk mendapatkan khidmat mereka musim depan.
“Kita telah mengemukakan surat tawaran kepada pemain yang tamat kontrak seperti Mohd. Rizal Ghazali dan Mohd. Syazwan Zainon untuk kekal bersama Kedah musim depan, malah kita juga telah mengadakan perbincangan awal dengan pemain-pemain ini sebelum berakhirnya Piala Malaysia lagi.
“Tidak dinafikan selepas memenangi Piala Malaysia, ada pemain yang letak harga tetapi KFA perlu menilai kemampuan sendiri.
“Seperti mana yang dikatakan Presiden KFA (Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah), pemain berhak memilih untuk berhijrah atau kekal dengan Kedah kerana KFA tidak mahu mengikat mereka dengan jumlah tawaran yang besar.
“Jaminan yang boleh kita berikan kepada pemain, mereka akan mendapat fasiliti, kesempurnaan dan kebajikan yang dijaga sebaik mungkin,” kata Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar ketika ditemui dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Semalam ketika mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pembentangan Bajet 2017, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa menerima rungutan daripada pemain dan kakitangan pengurusan KFA berhubung pasukan Kedah yang belum dimuktamadkan bagi musim depan.
Amiruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Ke­senian dan Kebudayaan, dan Pembangunan Insan memberitahu, pihaknya menjangkakan barisan pemain dan pengurusan pasukan Kedah akan dapat dimuktamadkan sebelum akhir bulan ini.
“Sekarang ini, pemain masih lagi bercuti sehingga 20 November ini. Kita jangka, barisan pemain akan dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Hal pemain yang tamat kontrak juga dijangka selesai tidak lama lagi kerana dalam pertemuan sebelum ini, mereka masih berminat untuk bermain dengan Kedah.
“Kita pun berminat untuk mereka kekal bersama Kedah untuk musim depan.
“Cuma proses dokumentasi sedang dilakukan sebelum perjanjian ditandatangani,” ujarnya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan