PENUNTUT TAK HADAPI MASALAH YURAN



15penuntut
ALOR SETAR 15 November - Kerajaan Kedah mengesahkan tidak ada pelajar-pelajar tajaan kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Negeri Kedah (Yink) yang menuntut di Mesir dan Jordan dalam jurusan perubatan yang tertunggak bayaran yuran pengajian.
Exco Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, sekiranya ada segelintir pelajar yang mengalami masalah itu kemungkinan mereka adalah pelajar-pelajar persendirian dan bukan tajaan kerajaan negeri.
“Soal penangguhan yuran pengajian bukan saja berlaku bagi pelajar-pelajar di luar negara, tapi juga ada berlaku di kalangan pelajar-pelajar dalam negara. Buat masa ini memang tidak ada pelajar tajaan kita yang alami masalah yuran pengajian tertunggak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan-soalan lisan oleh Datuk Ashah Ghazali (Pas-Merbau Pulas) yang bertanyakan mengenai bilangan pelajar Kedah yang menuntut di Mesir dan Jordan dalam jurusan perubatan yang tertangguh bayaran yuran pengajian pada Sidang Dun Kedah, semalam.
Menurutnya, jumlah pelajar yang ditaja kerajaan negeri melalui Yink di Mesir adalah sejumlah 37 orang dengan pecahan bagi pelajar tahun ketiga seramai enam orang, tahun keempat (11 orang), tahun kelima (17 orang) dan pelajar tahun keenam (tiga orang). Manakala tiada pelajar yang ditaja kerajaan negeri melalui Yink ke Jordan.
Sementara itu, Ashah dalam soalan tambahannya turut bertanya mengenai insentif kerajaan negeri untuk membantu pelajar-pelajar Kedah yang tertangguh yuran pengajian serta usaha kerajaan sama ada akan menambah peruntukan atau biasiswa dalam keadaan ringgit Malaysia yang semakin jatuh.
Tajul berkata, bagi tahun ini pihak Yink telah tambah bilangan 15 pelajar perubatan bagi sesi akan datang.
"Suka saya maklumkan, bagi pelajar pengajian Islam bilangan yang memohon tidak memenuhi kuota yang diperuntukkan Yink kerana mereka lebih berminat untuk memohon zakat daripada kerajaan negeri.
“Bagi inisiatif kerajaan lanjutan daripada kejatuhan mata wang sekarang, apabila kerajaan BN ambil alih, untuk pengajian perubatan dulu kita bagi RM30,000 saja di Mesir, tapi hari ini kita telah tingkatkan kepada RM40,000,” katanya.
Tajul berkata, bagi pelajar pengajian Islam pula pihaknya telah menaikkan peruntukan daripada RM6,000 kepada RM8,000. Manakala di Jordan pula dulu adalah RM10,000 dan telah dinaikkan kepada RM12,000.
Sumber : Sinar