BUKAN SEBAB MASALAH KEWANGAN



14bukan
ALOR SETAR 14 November - Keputusan kerajaan negeri menjual sahamnya tahun lepas sebanyak 10 peratus yang berjumlah kira-kira RM10 juta bukan disebabkan masalah kewangan dihadapi kerajaan negeri.
Sebaliknya, Exco Pelaburan Kedah, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, tindakan itu dilakukan dengan menjual saham pada harga tinggi dan hasilnya digunakan untuk membeli saham lain yang berkredibiliti pada harga yang lebih rendah.
Saham itu membabitkan saham Petronas Dagangan Berhad dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), katanya kepada pemberita selepas sesi soal jawab pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Terdahulu beliau menjawab soalan Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Pas-Tokai) yang mahu tahu senarai unit saham yang masih dipegang kerajaan negeri dan nilai sewaktu ia dibeli serta nilai semasa.
Menurut Ku Rahman, saham Petronas Dagangan Berhad itu berjumlah 1.8 juta unit dengan nilai pasaran RM41.94 juta, MAHB pula sebanyak 3.74 juta unit bernilai RM24.35 juta dan Amanah Saham Kedah Berhad sebanyak 16.94 juta unit dengan nilai RM4.184 juta.
Beliau berkata, bagi tempoh tiga tahun iaitu bermula 2014, saham Petronas Dagangan telah membawa keuntungan dividen sebanyak RM2.16 juta manakala saham Malaysia Airports Holding Berhad sebanyak RM1.05 juta.
Sumber : Sinar