MAKANAN, MINUMAN PERCUMA DI MASJID



17makanan
SIK 17 November - Masjid Ar-Rahman menyediakan hidangan teh O panas percuma setiap hari bermula solat Zohor hingga Isyak.
Wakil masjid, Mohd Izuddin Jaafar berkata, hidangan teh percuma sejak empat tahun lalu itu merupakan cetusan idea Imam, Ahmad Husin bagi mengimarahkan masjid berkenaan.
“Selepas solat, mereka boleh menikmati minuman disediakan pihak masjid. Malah, air bacaan yasin juga disediakan tanpa bayaran,” katanya, semalam.
Tambah Mohd Izuddin, pihak masjid juga akan menyediakan sarapan percuma pada setiap Jumaat selepas kuliah Subuh agar masjid berkenaan dekat di hati masyarakat.
“Hidangan kita sedia berbeza setiap minggu. Ada nasi lemak, bihun goreng dan sebagainya. Jemaah juga berkesempatan menikmati makanan percuma pada waktu petang, tetapi hari tidak menentu,” katanya.
Kata Mohd Izuddin, sambil menikmati teh, pihak masjid turut membuat tayangan langsung ibadah umrah dan haji dari kota Makkah.
“Tayangan itu langsung dari Makkah, ia juga sebagai tarikan kepada orang ramai. Keunikan yang ada di masjid ini juga berjaya menarik masjid lain untuk datang melihat sendiri keadaan di sini,” katanya.
Oleh : Muhammad Ammar Mubassyir
Sumber : Sinar