280 CALON DAPAT SEMUA A



18calon
PENDANG 17 November - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang menggunakan format baharu menyaksikan seramai 280 calon atau 0.88 peratus daripada 31,976 calon di negeri ini memperoleh semua A dalam setiap mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Azuyah Hassan berkata, Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun ini adalah 3.04 dengan pencapaian peratus kelulusan keseluruhan sebanyak 64.5 peratus dengan mengambilkira calon lulus sekurang-kurangnya D.
“Sebanyak 231 orang atau 0.86 peratus daripada 26,832 calon sekolah kebangsaan (SK) di ­negeri ini mendapat 6A manakala 33 orang daripada 3,679 calon sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina mendapat 8A. Sementara 16 orang daripada 1,465 calon SJK Tamil mendapat 8A.
“Sebanyak 155 atau 28.54 pe­ratus daripada 534 buah sekolah rendah kerajaan di negeri ini mendapat sekurang-kurangnya seorang calon memperoleh semua A dalam setiap mata pelajaran yang diambil.
“Bilangan sekolah yang mencatat peratus kelulusan kecemerlangan lebih tinggi daripada pencapaian GPN Kedah adalah sebanyak 236 sekolah atau 43.46 peratus. Dalam pada itu, seba­nyak 17 buah sekolah mendapat kelulusan 100 peratus,” katanya di SK Sungai Tiang di sini hari ini.
Menurut Azuyah, UPSR pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan melengkapi pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) itu memperlihatkan peratusan lulus sekolah bandar di negeri ini adalah 69.12 peratus manakala sekolah luar bandar adalah 61.58 peratus.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana melaksanakan Tui­syen Barakah Kedah (Tabah) bagi membantu meningkatkan pencapaian murid di negeri ini.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan