DEMAM DENGGI DI KEDAH MENINGKAT



22demam
ALOR SETAR 22 November - Kes demam denggi di Kedah menca­tat­kan peningkatan sebanyak 25 kes atau tiga peratus iaitu kepada 856 kes sejak 1 Januari hingga 12 November lalu berbanding tempoh sama, tahun lepas.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, kumulatif kematian akibat denggi pula menunjukkan penurunan iaitu tiga kes berbanding 12 kes tahun lalu.
“Lima daerah menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu Langkawi sebanyak 236.4 peratus (37 kes berbanding 11 kes), Baling 108.1 peratus (154 kes berbanding 74 kes) dan Sik 73.7 peratus (33 kes berbanding 19 kes).
“Dua lagi ialah Padang Terap sebanyak 37.1 peratus (48 kes berbanding 35 kes) dan Bandar Baharu 23.1 peratus (16 kes berbanding 13 kes),” katanya di sini hari ini.
Menurut Norhizan, sebanyak enam daerah mencatatkan penurunan iaitu Yan sebanyak 67.6 peratus, Kubang Pasu (20.4 peratus), Kuala Muda (15 peratus), Kota Setar (13.8 peratus), Kulim (10.6 peratus) dan Pendang (3.6 peratus).
Kata beliau, terdapat sebanyak­ 27 lokaliti wabak dilaporkan membabitkan tujuh lokaliti di Kulim, Kuala Muda (5), Padang Terap (5), Kota Setar (4), Langkawi (2) dan Baling, Pendang, Sik dan Bandar Baharu masing-ma­sing satu lokaliti.
“Daripada jumlah itu, seba­nyak empat lokaliti wabak aktif dilaporkan di Kulim iaitu di Kampung Keda, Taman Sungai Kob, Taman Selasih dan Kampung Panglima Hitam.
“Wabak aktif bermula seawal 25 Oktober lalu di Kampung Keda dan Kampung Panglima Hitam menjadi lokaliti paling akhir di­jangka tamat iaitu pada 24 November ini. Semua lokaliti wabak adalah terkawal,” ujarnya.
Tambahnya, bagi tempoh sama, pihaknya membuat pemeriksa­an­ pembiakan Aedes terhadap 258,359 premis dan didapati sebanyak 2,155 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.
“Sejumlah 1,300 kompaun bernilai RM650,000 dikeluarkan di ba­wah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975,” katanya.
Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan