KEMUDAHAN PI1M BANTU MASYARAKAT



22kemudahan
KULIM 22 November - Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) perlu memainkan peranan bagi membantu meningkatkan ekonomi masyarakat setempat melalui kemudahan disediakan di situ.
Exco Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Datuk Noorsabrina Mohd Nor berkata, PI1M disaran membantu masyarakat setempat untuk mengembangkan ekonomi mereka dengan menggunakan kemudahan komputer dan internet yang disediakan.
“Kita harap PI1M dapat bantu masyarakat terutama di luar bandar untuk mempromosikan produk yang mereka hasilkan.
“Contohnya, kalau di Kampung Kemunting ini ada kuih 10 sen, boleh ambil video atau gambar dan muat naik di Facebook PI1M. Ini dapat bantu mempromosikan kuih mereka. Seluruh dunia boleh tahu,” katanya dalam ucapan perasmian PI1M Karangan, kelmarin.
Menurut Noorsabrina, masyarakat setempat juga perlu mengambil peluang disediakan kerajaan untuk rakyat.
“Sudah banyak pusat internet dibina di Kedah untuk kemudahan rakyat terutama di luar bandar. Kalau tak ambil peluang untuk belajar, rugilah.
“Bukan setakat boleh layari internet, malah pelbagai kemudahan turut disediakan termasuk mencetak dan membuat salinan. Kita percaya kakitangan di sini dapat bantu sesiapa sahaja yang mahu belajar,” katanya.
Tambah Noorsabrina, terbaharu, PI1M turut menyediakan kemudahan Myshop untuk usahawan mempromosikan produk mereka.
Selain itu katanya, PI1M turut membantu meningkatkan pendapatan masyarakat di negeri ini melalui e-usahawan dan e-rezeki.
“Sekarang kita ada Myshop, masyarakat setempat boleh ke sini untuk pelajari dan memuat naik produk mereka. Ini dapat membantu usahawan baru yang mahu meluaskan pasaran.
"Selain itu, lebih 658 daripada 1,300 orang berjaya menjana pendapatan melalui e-rezeki, manakala lebih 3,000 usahawan berjaya setelah mendapatkan ilmu menerusi aplikasi e-usahawan hingga memperoleh pendapatan mencecah RM1 juta. Justeru, kerjasama PI1M diperlukan bagi meningkatkan lagi penyertaan orang ramai,” katanya.
Sumber : Sinar