PASAR PERCUMA BANTU PENDUDUK



22pasar
SIK 22 November - Usaha meringankan beban anggota masyarakat bukan hanya terletak di bahu kerajaan kerana dengan keprihatinan semua pihak nasib golo­ngan berpendapatan rendah akan terbela sepenuhnya.
Demikian tercetus idea daripada warga Institut Kemahiran Mara (IKM) Sik dengan kerjasama wakil rakyat di sini untuk mewujudkan pasar percuma yang menyediakan pelbagai barang keperluan hasil ihsan dermawan untuk penduduk kawasan berkenaan.
Penganjur mengambil inisiatif mengumpul pelbagai barang keperluan dan mengagihkannya kepada pen­duduk tempatan di pekarangan Masjid Al-Falah, Kampung Betong, Jeneri, baru-baru ini.
Sambutan cukup menggalakkan apabila dalam masa satu jam sahaja, barangan di pasar percuma itu habis diambil oleh golo­ngan yang memerlukan.
Program anjuran IKM de­ngan kerjasama Pejabat Khidmat Ma­sya­rakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu bertujuan membantu golongan asnaf mendapatkan barangan keperluan mereka.
Program juga mendapat kerjasama daripada Hospital Daerah Sik untuk program derma darah­nya serta penyertaan daripada Pasukan Batalion 5 Rejimen Sempadan yang berpangkalan di Kem Gubir, Belantik yang turut menyediakan barangan makanan.
ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, program sebegini amat baik dilakukan bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukannya.
“Bagi penduduk luar bandar, mereka hanya memerlukan barangan makanan buat mengisi perut anak-anaknya berbanding barangan lain seperti pakaian, kasut, beg dan sebagainya lagi.
“Makanan seperti beras, gula, tepung, sardin dan sebagainya amat penting bagi mereka memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat dan harga jualan getah yang semakin menurun,” kata Mahadzir.
Katanya, kebanyakan penduduk hanya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan kurang daripada RM400 sebulan, dan mereka melalui pelbagai kesukaran dan kesempitan hidup.
“Mereka ini perlu dibantu supaya dapat mengurangkan sedikit masalah kewangan dan perbelanjaan harian mereka,” katanya.
Ketika bertandang ke pasar percuma itu, penduduk tidak perlu membawa wang kerana kesemua barang diberi secara percuma mengikut keperluan masing-masing.
Walaupun program berkenaan bermula pukul 11 pagi hingga 1 petang namun dalam masa satu jam sahaja hampir keseluruhan barang diambil oleh mereka.
Antara barang yang paling menjadi rebutan ialah makanan seperti beras, gula, susu, minyak masak, gula dan kopi.
Selain itu barang lain turut disediakan iaitu baju, kasut serta buku hasil sumbangan pelbagai pihak dan individu namun kurang digemari.
Menurut Mahadzir, meman­dang­kan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, pihaknya bercadang untuk terus menganjurkan program sebegini dari semasa ke semasa mengikut keperluan penduduk setempat.
Beliau juga amat mengalu-alukan sesiapa sahaja sama ada agensi kerajaan, badan berkanun atau pun badan bukan kerajaan (NGO) tampil ke hadapan dalam usaha membantu rakyat yang memerlukan.
Sementara itu, Pengarah IKM, Siti Aminah Yahya berkata, beliau amat berpuas hati dengan kejayaan program tersebut sebagai salah satu projek tanggungjawab sosial korporat IKM untuk mendekatkan pelajarnya dengan masyarakat setempat.
Katanya, selain pasar percuma, pelajar IKM turut bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran masjid tersebut dan memperbaiki peralatan elektrik seperti kipas, lampu dan pendi­ngin hawa.
“Idea mengadakan pasar percuma ini tercetus atas rasa keprihatinan mereka terhadap golo­ngan kurang berkemampuan dan memberi peluang untuk mereka merasai nikmat memilih bara­ngan yang mereka sukai.
“Sambutan yang diberikan oleh peserta amat menggalakkan dan mereka mulai mengumpulnya sama ada barangan koleksi peribadi mahupun membuat kutipan daripada mereka yang sudi menyumbangnya,” kata Siti Aminah.
Menurutnya, pelajar mengambil masa kira-kira sebulan untuk mengumpul kesemua barang yang akan diberikan kepada orang ramai.
Tidak terhitung kesyukuran apabila ada yang prihatin de­ngan kebajikan mereka yang berpendapatan rendah apabila mewujudkan pasar percuma bagi mengagihkan pelbagai barang keperluan.
Penduduk tempatan, Suzila Othman, 40, berkata, dia merasa bersyukur dengan program yang diadakan itu untuk membantu meringankan beban mereka.
“Program sebegini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang terpaksa kami tanggung. Saya juga tidak menyangka barang-barang yang dipamerkan ini boleh diambil secara percuma kerana ia cantik-cantik belaka dan pelbagai barang makanan juga boleh diambil,” katanya ketika ditemui di pasar percuma berkenaan.
Oleh : Norlia Ramli
Sumber : Utusan