TAK PERGI SEKOLAH JAGA BAPA



11tak
KUALA NERANG 11 Oktober - Hasrat seorang pelajar untuk menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) selepas terpaksa ponteng sekolah lebih sebulan kerana terpaksa menjaga bapanya yang lumpuh tercapai apabila dibenarkan menduduki peperiksaan itu, semalam.
Nurul Fatin Aina Badrul Hisham, 15, berkata, dia bersyukur dapat menduduki peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Terap walaupun terpaksa menjaga bapanya itu sekian lama.
Menurutnya, dia terpaksa menggalas tanggungjawab itu bersama adik dan abangnya yang lain berikutan bapanya, Badrul Hisham Tajuddin, 43, lumpuh selepas serangan angin ahmar sejak Ogos lalu.
"Saya berterima kasih kepada Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim kerana menguruskan pertukaran sekolah saya dari Sungai Petani ke Padang Terap hingga saya dan adik, Nurul Farawahida, 14, dapat meneruskan persekolahan di situ," katanya.
Nurul Fatin berkata, pada hari pertama persekolahan semalam, dia dan adiknya bangun pada jam 5 pagi untuk memasak dan menguruskan bapanya.
Selepas ibu bapanya bercerai, Nurul Fatin Aina dan Nurul Farawahida tinggal bersama ibunya di Sungai Petani manakala abangnya, Muhamad Fazrul Fakrullah, 16, dan adiknya, Muhamad Shakir Zulfairy, 11, tinggal bersama bapa mereka.
Muhamad Fazrul terpaksa diberhentikan sekolah sejak berusia 13 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah sebanyak RM20 hingga RM30 sehari.
Sementara itu, Badrol Hisham berkata, beliau berharap masalah yang dihadapi Nurul Fatin Aina itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk menduduki peperiksaan pada hari ini.
Oleh : Mohd Rifaat Abd Hamid
Sumber : Sinar