500 WARGA EMAS DIRAI



10warga
SUNGAI PETANI 10 Oktober - Seramai 500 warga emas di sekitar daerah Kuala Muda diraikan sempena Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Hari Datuk Nenek peringkat negeri Kedah yang diadakan di Dewan Kompleks Penyayang Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda di sini, hari ini.
Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sungai Petani, Datuk Rokiah Hashim berkata, Hari Warga Emas disambut pada setiap 1 Oktober manakala Hari Datuk Nenek ialah pada Ahad minggu kedua bulan Oktober.
"Sambutan ini bukan sahaja bagi meraikan anggota PAWE tetapi juga penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Bedong dan warga emas dari kawasan berhampiran.
"Pelbagai aktiviti diadakan pada hari ini termasuklah senaman Wai Tan Kung, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak serta sukaneka melibatkan warga emas yang hadir," katanya kepada pemberita selepas majlis itu.
Terdahulu, majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain.
Rokiah berkata, PAWE yang mula beroperasi sejak 3 Sept 2009 di Kompleks Penyayang kini mempunyai seramai 469 anggota terdiri daripada 157 lelaki dan 312 wanita, berfungsi sebagai pusat warga emas berkumpul untuk melakukan aktiviti seperti senaman, kelas Bahasa Arab, feqah, tafsir dan mengaji al-Quran, fardu ain serta kuliah agama.
"Sebelum ini, ia merupakan pusat jagaan harian warga emas yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 4 petang, namun disebabkan tiada warga emas yang dihantar ke situ, kita wujudkan PAWE bagi menggantikannya," katanya.
Dalam pada itu, dua penghuni RSK Bedong, Hawa Hassan, 55, dan Raja Azian Raja Mohd Hussin, 65, meluahkan rasa gembira apabila diraikan dalam majlis berkenaan.
"Saya rasa seronok dapat main sukaneka, menang dan dapat hadiah serta bunga," kata Hawa.
Raja Azian pula berkata, dia sememangnya terhibur dengan majlis itu memandangkan kudratnya sebagai warga emas membataskan pergerakannya untuk ke mana-mana.
Sumber : Sinar