KERAP BERLAKU KEMALANGAN MAUT



11kerap
KULIM 11 Oktober - Pengguna Jalan Taman Mutiara, Sungai Kob menggesa pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan masalah di tiga simpang di sini yang kerap berlaku kemalangan, sejak akhir-akhir ini.
Pengusaha butik pengantin, Nor Lily Oodin, 45, berkata, saban hari, kemalangan di jalan utama Taman Mutiara semakin kerap berlaku terutama di tiga simpang di jalan ini.
Menurutnya, simpang empat sebelum lampu isyarat jalan utama Kulim-Mahang ini sentiasa sibuk terutama pada waktu puncak di waktu pagi dan tengah hari.
“Paling saya bimbang ketika tengah hari waktu pelajar tamat sekolah, ada sesetengahnya pergi sekolah dengan menunggang motosikal, topi keledar pun tak pakai apatah lesen,” katanya.
Katanya lagi, dua lagi simpang tiga yang terdapat beberapa meter dari simpang empat tersebut juga kerap berlaku kemalangan melibatkan nyawa.
“Sebab itu saya harapkan pihak berkenaan boleh ambil langkah untuk mengurangkan kemalangan.
“Saya cadangkan wujudkan bonggol di setiap jalan keluar dan masuk simpang bagi memastikan kenderaan yang melalui jalan itu memperlahankan kenderaan selain kurangkan simpang dengan menutupnya untuk laluan kenderaan,” katanya.
Tambahnya, jalan dekat stesen minyak Petronas atau jalan kedua Taman Mutiara pula teruk, berlubang sana sini. Jalan ini boleh menjadi laluan alternatif penduduk bagi mengelakkan kesesakan selain dilihat lebih selamat tapi bila berlubang, tak ramai orang nak lalu,” katanya.
Azhar Saad, 35, berkata, pihak polis diminta lakukan rondaan di jalan menuju tasik kerana aktiviti mat rempit kerap berlaku di kalangan pelajar sekolah terutamanya pada malam minggu dan ini juga mengundang bahaya," katanya.
Sumber : Sinar