MOHON TURAP SEMULA JALAN



15mohon
KULIM 15 Oktober - Pengguna jalan utama Kampung Sungai Pasir, di sini, gusar dengan keadaan jalan yang tidak diturap semula setelah Syarikat Air Darul Aman (Sada) menjalankan kerja baik pulih paip, empat bulan lalu.
Pengerusi JKKK Sungai Buloh, Jamaluddin Latif berkata, jalan sepanjang tiga meter itu sudah lama dibiarkan rosak menyebabkan pengguna berdepan pelbagai masalah.
Menurutnya, keadaan jalan itu juga boleh membahayakan pengguna kerana berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Sungai Batu.
“Dah lama sangat jalan itu dibiarkan tanpa diturap. Aduan juga dibuat kepada Sada, tapi tiada tindakan diambil. Kita bimbang jika tak ada tindakan dan penurapan semula jalan, boleh menyebabkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna.
"Bahaya sangat terutama waktu puncak, pagi dan tengah hari. Ketika ini budak sekolah nak ke kelas dan tamat kelas. Ibu bapa yang datang hantar anak-anak guna motosikal dan kereta terpaksa elak sehingga berlaku pergeseran antara kenderaan," katanya.
Sehubungan itu, kata Jamaluddin, pihak berkenaan diharap dapat melakukan kerja penurapan semula demi keselesaan pengguna.
“Kita harap pihak berkenaan menurap segera jalan ini. Jangan sampai ada kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa,” katanya.
Sumber : Sinar