GANTUNG SEKOLAH SETAHUN



17gantung
PADANG TERAP 16 Oktober - Kementerian Pendidikan mempertimbangkan cada­ngan untuk mengenakan tindakan gantung persekolahan selama setahun kepada pembuli yang didapati melakukan kesalahan serius sebagai alternatif hukuman buang sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelajar yang digantung itu akan dilibatkan dengan kerja-kerja kebajikan atau dimasukkan ke pusat pemulihan dalam tempoh berkenaan sebagai syarat untuk memulakan persekolahan semula.
“Perkara ini (buli) tidak boleh dibiarkan dengan kes buli yang banyak dan perlu ada tindakan, gantung sekolah. Walaupun melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka kena ambil SPM tahun depan.
“Ini antara perkara baharu yang saya dan beberapa individu di Kementerian Pendidikan merasakan perlu dimasukkan dalam peraturan disiplin di sekolah yang melibatkan kes buli,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Bantuan Projek Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) serta Laman Kebun pihak berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Per­usahaan Getah (RISDA) Padang Terap di sini hari ini.
Dalam majlis itu, RISDA memperuntukkan RM460,000 untuk membantu seramai 18 penerima program AET manakala 180 pengusaha tanaman pisang, betik, jagung dan cili mendapat bantuan laman kebun di daerah ini.
Sementara itu, Mahdzir berkata, pihaknya perlu mencari alternatif bentuk hukuman kepada pembuli yang melakukan ke­salahan serius berikutan terdapatnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kurang bersetuju dengan tindakan buang sekolah kepada pelajar terbabit.
“Dalam tempoh sebulan ini, kita akan nilai setiap maklum balas dan mendapatkan cadangan daripada orang ramai tentang hukuman yang harus dikenakan kepada pembuli ini.
“Jika tiada cadangan hukuman yang lebih baik daripada tindakan gantung persekolahan selama setahun, kita jangka akan laksanakan (hukuman gantung sekolah) berkuat kuasa pada awal tahun depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mahdzir memberitahu, pihaknya membuka bilik operasi untuk memantau kesan fenomena air pasang besar yang bermula semalam sebelum membuat tindakan lanjut termasuk kemungkinan menutup sekolah di kawasan terlibat.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan