GEJALA DADAH KIAN MEMBIMBANGKAN



15gejala
BALING 15 Oktober - Penularan gejala dadah di Kampung Lanai semakin membimbangkan dan hanya boleh diatasi sekiranya ibu bapa memberi kerjasama sepenuhnya kepada Rela, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta agensi berkaitan.
Ketua Platun Rela Kampung Lanai, Zulkifli Osman berkata, sesetengah ibu bapa yang mempunyai anak terlibat dengan penagihan dadah, didapati tidak mahu memberi kerjasama ketika operasi dijalankan.
Menurutnya, sikap ibu bapa yang memihak kepada anak hingga sanggup membiarkan mereka melarikan diri daripada ditahan, menyebabkan masalah itu tidak dapat diselesaikan.
“Kadang-kadang ibu bapa tak beri kerjasama kepada JKKK, Rela dan agensi berkaitan. Bila dapat maklumat operasi akan dilaksanakan, mereka akan arah anak-anak melarikan diri,” katanya, semalam.
Menurut Pengerusi JKKK Lanai, Ahmad Omar, situasi penagihan di kampung itu semakin buruk apabila mula menjadi tumpuan penagih dari luar kawasan.
Katanya, penagih baharu turut dikesan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu, sehingga dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penduduk jika mereka bertindak agresif.
“Kampung Lanai mula menjadi kawasan tumpuan selepas kawasan penagihan di Bukit Endoi diserbu polis.
“Saya sendiri pernah diancam penagih di sini kerana aktiviti mereka dilaporkan kepada polis. Memang agak agresif. Walaupun ancaman itu tidak sampai ke tahap bunuh, tetapi saya pernah ditahan mereka di tengah jalan,” katanya.
Pegawai AADK Baling, Arnida Ishak berkata, AADK tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawab dan peranan bagi membendung masalah itu dan semua pihak perlu memainkan peranan untuk bekerjasama membanteras gejala dadah.
“Diharap semua pihak memainkan peranan masing-masing sebagai individu, masyarakat dan keluarga. Dengan izin ALLAH SWT, jika semua berganding bahu, perkara ini dapat diatasi,” katanya.
Sumber : Sinar