BANTAH PEMAJU CEROBOH SEKOLAH



14bantah
KULIM 14 Oktober - Seramai 100 peserta demonstrasi berkumpul bagi membantah tindakan sebuah syarikat pembinaan yang didakwa menceroboh kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Padang Mieha sejak 27 September lalu.
Setiausaha Agung Parti Makkal Sakti, Sutager Subramaniam mendakwa, syarikat itu telah menceroboh dan meruntuhkan sebahagian bangunan tambahan dibina pihak sekolah, dipercayai menggunakan pintu belakang.
“Kita amat kesal dengan tindakan pihak pemaju yang menceroboh kawasan sekolah yang berpagar dan berkunci tanpa sebarang notis pemberitahuan awal.
“Seperti kita maklum, sekiranya mahu masuk ke kawasan sekolah, kita perlu ada sekurangnya surat kebenaran atau memaklumkan kepada guru besar, selain Pejabat Pendidikan Daerah," katanya.
Sutager berkata, pihak sekolah telah menghantar surat kepada pemaju pada 8 Mac 2012 untuk memohon kebenaran membina tembok dan mendapat kelulusan bagi menjaga keselamatan warga sekolah.
“Pihak sekolah telah mendapat kebenaran daripada pihak pemaju. Walaupun berlaku pindah hak milik antara pemaju, namun tindakan seperti itu tidak wajar.
“Kita juga bimbang keselamatan murid, guru dan kakitangan sekolah dengan tindakan pemaju ini. Perkara pencerobohan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Tambahnya, sudah tentu pembinaan dan tapak sekolah itu mendapat kelulusan kerajaan apabila dana bagi tujuan tersebut telah diberikan.
“Sekolah ini telah banyak terima dana kerajaan untuk dibangunkan, sudah tentu tapak sekolah ini milik kerajaan.
“Jangan sesuka hati mahu ceroboh kawasan sekolah ini. Ini sekolah, bukan kawasan setinggan. Kita tak akan berdiam diri sekiranya pihak pemaju meneruskan niat tersebut dan kacau sekolah ini,” katanya.
Katanya lagi, pihak pemaju juga perlu bertanggungjawab membayar ganti rugi dengan meruntuhkan bangunan tambahan kantin sekolah, selain kepada bekas pekerja Ladang Padang Mieha yang belum mendapat hak mereka.
“Pertukaran tangan ini tidak boleh dijadikan asas penganiayaan terhadap anak-anak Ladang Padang Mieha, malah surat ugutan juga telah dihantar syarikat pemaju melalui peguam bela kepada guru besar supaya memohon maaf kerana menceroboh.
"Itu tidak benar, sekolah ini telah dibina lebih 60 tahun lalu,” katanya.
Sumber : Sinar