TUDM TERIMA 5 PESAWAT BARU



10tudm
ALOR SETAR 10 Ogos - Menteri Pertahanan, YB. Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein menghadiri Majlis Pelancaran Pesawat PC-7 MK II Batch III Dan EC 120B yang diadakan di Kolej Tentera Udara, Alor Setar.
TUDM telah menerima perolehan 5 buah pesawat baru iaitu Pilatus PC-7 Mk II untuk tujuan latihan penerbangan asas di PULATIBANG 1, Kolej Tentera Udara, Alor Setar. Perolehan pesawat latihan ini bagi menampung penggunaan pesawat Pilatus PC-7 Mk II yang sedia ada dan juga pesawat Pilatus Turbo Trainer yang akan ditamatkan perkhidmatannya. Pesawat ini diterima daripada Pilatus Aircraft, Switzerland yang membuat penerbangan dari Switzerland ke Kolej Tentera Udara, Alor Setar.
Pesawat EC120B Colibri telah diperkenalkan ke dalam perkhidmatan TUDM pada 3 Disember 2015 menggantikan pesawat Aloutte III yang telah tamat perkhidmatannya pada bulan Mac yang lalu. Sejumlah 5 buah pesawat akan digunakan sebagai pesawat latihan bagi perlaksanaan latihan penerbangan asas helikopter di PULATIBANG 2.
Tiga buah pesawat EC 120b Colibri telah pun diterima oleh Pusat Latihan Terbang Dua bermula Januari sehingga Mac 2016, seterusnya dioperasikan bagi kegunaan QHI Conversion dan dijangka tamat pada pertengahan Mei 2016 sebelum digunakan bagi tujuan kursus asas penerbangan helikopter. Pesawat EC 120B Colobri turut dinaiktaraf menjadi pesawat yang bercirikan glass cockpit selari dengan keperluan latihan yang dirancang.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertahanan, YB. Dato’ Seri Mohd Johari bin Baharum; Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Abdul Rahim Mohammad Radzi; Panglima-Panglima perkhidmatan, pegawai tinggi tentera, pegawai kanan awam dan tentera Kementerian Pertahanan.
Sumber : UMTK