KEDAH HARAMKAN POKEMON GO




    11kedah
    ALOR SETAR 10 Ogos - Jawatankuasa Fatwa nege­ri hari ini memutuskan permainan Po­kemon Go ha­­ram, sekali gus wajar disekat dan dilarang penggunaannya dalam kalangan umat Islam.
    Mufti Kedah, Datuk Syeikh Mu­­hamad Baderudin Ahmad ber­kata, perkara itu diputuskan hasil per­bincangan jawatan­kuasa tersebut yang turut menggariskan ancaman permainan berke­naan dikhuatiri memudaratkan umat Islam, khususnya institusi kekeluargaan, keselamatan nega­ra dan keharmonian kaum di negeri ini.
    “Keputusan perbincangan ter­sebut mendapati permainan Pokemon Go wajar dihalang, di­sekat serta dilarang. Satu perkataan yang lebih tepat adalah haram,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Jabatan Mufti Kedah di sini.
    Pada 1 Ogos lalu, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan memutuskan melarang permainan Pokemon Go berikutan kemudaratan yang berlaku dalam masyarakat.
    Semalam, Jawatankuasa Fatwa Melaka turut memutuskan aplikasi permainan Pokemon Go adalah dilarang dan mesti dijauhi umat Islam kerana membawa kepada kemudaratan dan kelalaian.
    Sementara itu, menurut Syeikh Muhamad Ba­derudin, keputusan ber­kenaan juga dibuat berdasarkan beberapa kemudaratan yang di­­cetuskan akibat ke­ta­­gihan permainan ber­­­kenaan seperti kepa­da akidah dan ibadat u­mat Islam.
    “Hadis Rasulullah SAW bermaksud: Kita tidak boleh mendatang­kan kemudaratan kepada diri sendiri dan kemudaratan itu kepada orang lain, jadi bersandarkan kepada itu, permainan ini wajar disekat.
    “Kita tengok kepada keburukan yang dicetuskan, ia boleh ancam ibadat dan akhlak, mengganggu-gugat keselamatan negara termasuk mengancam rahsia negara dan boleh mencetuskan suasana tidak sihat jika berlaku pencerobohan rumah ibadat ma­sing-masing,” katanya.
    Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menggesa agar pihak berwajib melaksanakan langkah penguatkuasaan untuk menyekat akses masyarakat kepada permainan berkenaan.
    “Melihat kepada kemudaratan yang boleh dicetuskan daripada ketagihan permainan ini, ia wajar disekat, kalau haram saja, orang buat (bermain) juga. Kita mahu perkara ini disekat oleh pihak yang ada kuasa dan pihak berwajib dalam perkara ini.
    “Saya ingin cadangkan agar kerajaan sekat aplikasi permai­nan ini. Pengisytiharan sebagai haram yang dibuat oleh banyak pihak, tidak mampu menyekat masyarakat,” katanya.
    Mengulas lanjut, Syeikh Muhamad Baderudin turut menya­rankan agar ibu bapa sentiasa berwaspada dan sentiasa mengambil berat serta memantau pergerakan anak mereka supaya tidak terjebak dengan permainan yang boleh menggugat keimanan mereka.
    Oleh : Jamliah Abdullah
    Sumber : Utusan