BANTU RINGAN PENDERITAAN MASYARAKAT




    7bantu
    ALOR SETAR 6 Ogos - Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan yang menghidap pelbagai penyakit kronik di Kuala Kedah di sini terpilih menjadi penerima pertama bagi program Utusan Prihatin anjuran Kumpulan Utusan.
    Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, program membantu masyarakat itu dikendalikan oleh Yayasan Kumpulan Utusan bagi menggerakkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat media itu.
    “Dana untuk melaksanakan program Utusan Prihatin ini adalah sumbangan daripada pelbagai pihak untuk kita (Kumpulan Utusan) salurkan kepada mereka yang memerlukan.
    “Sebagai permulaan, kita me­rancang untuk melakukan aktiviti CSR ini pada setiap bulan. Kita mempunyai beberapa calon penerima bantuan yang kisahnya telah disiarkan di Utusan Malaysia dan Kosmo! untuk dipertimbangkan.
    “Pemilihan penerima bantuan Utusan Prihatin akan dilakukan jawatankuasa Yayasan Kumpulan Utusan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar memenuhi kriteria ditetapkan layak mendapat sumbangan ini,” katanya.
    Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan Yayasan Kumpulan Utusan seba­nyak RM5,000 kepada Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim yang menghidap penyakit jantung berlubang, masalah paru-paru kronik, sawan dan lelah di sini semalam.
    Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh; Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Jamal Ahmed Ali Ahmad dan Pengurus Komunikasi Korporat, Nik Anura Nik Abdul Rahman yang turut menyumbangkan susu, lampin pakai buang dan katil bayi selain barangan keperluan bernilai RM1,000.
    Kisah bayi yang memerlukan bantuan kira-kira RM2,000 sebulan daripada orang ramai untuk menampung kos perubatan, tiub makanan, susu khas dan lampin pakai buang itu pernah disiarkan akhbar ini pada 17 Jun lalu.
    Menurut Mohd. Noordin, pihaknya juga akan menggunakan jaringan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat selain memberi sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dalam program Utusan Prihatin.
    Sementara itu, ibu penerima bantuan, Nor Hidayu Halim, 27, berkata, sumbangan Yayasan Kumpulan Utusan itu sangat berharga buat mereka sekeluarga untuk memastikan Ieman Fayruzz Mikhail mendapat keperluan yang sewajarnya.
    “Apa yang lebih penting, kunjungan Kumpulan Utusan ini membuatkan saya berasa ada pihak yang prihatin dengan kesukaran yang dihadapi Ieman Fayruzz Mikhail.
    “Terima kasih Yayasan Kumpulan Utusan kerana meringankan beban yang kami hadapi. Diharapakan program Utusan Prihatin ini akan dapat membantu lebih ramai orang senasib seperti kami,” ujarnya.
    Orang ramai yang ingin bersama menyumbang untuk menjayakan program Utusan Prihatin boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Yayasan Kumpulan Utusan 14283010000572.
    Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
    Sumber : Utusan