KETUM BERI KESAN SAMPINGAN


30ketum
ALOR SETAR 30 Julai – Cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk menanam pokok ketum di seluruh negara bagi memenuhi permintaan pasaran luar negara adalah tidak sesuai.
Exco Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, ini kerana ketum juga berperanan seperti racun yang boleh memberi kesan sampingan kepada kesihatan manusia.
“Dalam sidang Dun (Kedah) dulu pun kita pernah bercakap, dia (pokok ketum) macam racun. Tempat saya (Dun Guar Chempedak) pun ada juga orang minum air ketum untuk hilangkan penyakit-penyakit.
“Tapi kesan sampingannya lebih teruk daripada untuk sembuhkan penyakit. Kalau ia menjadi amalan setiap hari, muka boleh jadi hitam dan memberi kesan kepada kulit,” katanya semasa hadir pada majlis jamuan hari raya Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan anak-anak syarikat di Dewan Seri Mentaloon, di sini, kelmarin.
Menurutnya, terdapat banyak pilihan komoditi lain yang lebih sesuai untuk dieksport ke pasaran luar negara seperti kelapa sawit dan getah.
“Secara peribadi cadangan itu tidak sesuai sebab kesan sampingannya kepada kesihatan orang, kecuali digunakan secara terkawal. Mungkin ada khasiat tertentu dalam daun ketum yang boleh menyembuhkan penyakit.
“Sebab orang tua-tua dulu pun guna daun ketum untuk sembuhkan demam, tapi sekarang tak boleh lagi buat macam itu. Kita kena buat cara terkawal dan mesti dapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan,” katanya.
Terdahulu, Risda mencadangkan untuk menanam pokok ketum di seluruh negara bagi memenuhi permintaan pasaran luar negara.
Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sekiranya diluluskan, Risda bercadang mengusahakan projek perintis di negeri di utara Semenanjung, sebelum penanamannya secara besar-besaran dilaksanakan di seluruh negara.
Sumber : Sinar