DI MANAKAH GLC LAIN?



2manakah
ALOR SETAR 2 Ogos - Hari Pahlawan disambut 31 Julai setiap tahun. Sambutan ini bukan untuk suka-suka. Ia bertujuan merai dan memperingati jasa dan khidmat bakti pasukan pertahanan negara yang menjadi benteng utama dalam mempertahankan kedaulatan ta­nah air daripada ancaman musuh.
Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa demi keselamatan negara. Nikmat kemerdekaan yang dikecapi rakyat hari ini adalah da­ripada tumpahnya darah dan ke­ringat pasukan tentera. Merekalah yang berada di barisan hadapan ketika menentang komunis.
Demi melindungi negara dan bangsa, ada antara mereka yang gugur di medan perjuangan. Mereka me­ninggalkan isteri-isteri dan anak-anak yang menjadi balu dan yatim sekelip mata.
Ada juga yang cacat anggota dan menjadi lumpuh seumur hidup. Mereka tidak lagi mampu untuk mengangkat senjata, apatah lagi melakukan kerja-kerja lain demi meneruskan hidup.
Atas dasar itu, sebuah Tabung Pahlawan diwujudkan sejak tahun 1950 untuk membela nasib bekas perajurit negara dan di­salurkan kepada bekas anggota tentera, balu dan keluarga yang kurang bernasib baik.
Kempen Tabung Pahlawan dilaksanakan setiap tahun untuk mengumpul dana bagi tujuan itu terutamanya golongan veteran orang kurang upaya (OKU), balu serta anggota perkhidmatan lain yang memerlukan perhatian khas.
Namun amat menyedihkan, hanya RM1.5 juta mampu dikutip setiap tahun. Nilainya amat sedikit jika dibandingkan de­ngan jumlah rakyat negara ini. Sekalipun separuh daripada rak­yat menyumbang RM1 sahaja, jumlahnya ma­sih tidak menyamai kutipan tersebut.
Lebih mendukacitakan, hanya segelintir syarikat milik kerajaan (GLC) dan badan-badan korporat sudi menghulurkan bantuan untuk tabung ber­kenaan. Sedangkan, terdapat 20 syarikat disenaraikan di bawah program transformasi GLC. Ini tidak termasuk 812 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Menurut Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor, hanya beberapa syarikat menjadi penyum­bang tetap setiap tahun seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebanyak RM1 juta, Pharmaniaga Berhad (RM50,000), Affin Bank Berhad (150,000), BHP (RM50,000), Khazanah Nasional Berhad (RM100,000), Weststar Group (RM100,000), Boustead Plantations Bhd (RM50,000) dan Syarikat Warisan Sdn Bhd. yang menyumbang dari segi promosi dan pengiklanan berjumlah RM120,000.
Di sini, timbul tanda tanya, ke manakah GLC dan syarikat korporat lain yang mencatat keuntungan jutaan ringgit setiap tahun di sebalik galakan kerajaan supaya memperuntukkan keuntungan mereka bagi tujuan kebajikan masyarakat melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR)?
Mohd. Anwar berkata, pihak­nya sedang berusaha untuk me­nulis surat kepada semua GLC, institusi-institusi kewangan dan syarikat-syarikat korporat untuk mereka memberi sumbangan sempena Kempen Tabung Pahlawan yang akan berakhir 31 Disember ini.
Kata beliau, pihaknya me­nyasarkan sebanyak RM5 juta dapat diperoleh untuk membantu veteran kurang upaya termasuk yang daif, tidak dapat bekerja dan tidak layak menerima pencen.
Oleh : Maisarah Sheikh Rahim
Sumber : Utusan