KENDERAAN ASING DILARANG BELI



22kenderaan
ALOR SETAR 22 Ogos – Penguatkuasaan larangan kepada kenderaan asing khususnya dari Thailand untuk membeli petrol RON95 di negeri ini masih terpakai.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohamad Fitri Hassan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan sentiasa melakukan pemantauan.
“Dari segi arahan barangan kawalan itu masih lagi terpakai dan kalau ikut kerajaan, tak boleh beli. Cuma dengan kuantiti tertentu yang dibenarkan dalam peraturan.
“Kita kena lihat dari segi tujuannya, kalau kenderaan dari Thailand yang nak ke Johor dan ada Permit Edaran Antarabangsa (ICP) yang sah, memang kita ada kategori tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis perasmian kempen kesedaran keselamatan petroleum dan anugerah kedai harga patut 2016 peringkat negeri Kedah di Hotel Grand Alora, di sini, semalam.
Menurutnya, kawasan sempadan terutamanya tidak boleh membeli petrol RON95 melebihi jumlah RM250 setiap kali isian.
“Berdasarkan statistik sehigga Ogos, sejumlah RM767,000 nilai rampasan untuk barangan kawalan minyak telah direkodkan berlaku di kawasan sempadan.
“Sekiranya pengguna melihat kesalahan itu berlaku di mana-mana stesen minyak, sila laporkan kepada pihak KPDNKK dengan segera,” katanya.
Mengulas mengenai kempen kesedaran keselamatan petroleum yang diadakan itu, beliau memaklumkan ia adalah usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pengguna dalam mengambil langkah-langkah keselamatan ketika berada di stesen minyak.
“Ini kerana kita dapati banyak juga kes kemalangan berlaku di stesen-stesen minyak akibat kekurangan kesedaran dikalangan pengguna itu sendiri.
“Di Kedah lebih 400 stesen minyak termasuk stesen minyak mini. Belum ada kes dilaporkan berlaku di Kedah dan hanya di peringkat nasional, kita kena ambil langkah-langkah pencegahan supaya ia tidak berlaku,” katanya.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar