PERIT HIDUP ZAMAN PENJAJAH



22perit
KUALA NERANG 22 Ogos - Pengalaman selama tiga tahun dan lapan bulan semasa di bawah pemerintahan penjajahan Jepun sangat memeritkan hingga memberi tekanan kepada penduduk di Padang Terap.
Pemerintahan zaman pendudukan Jepun di bawah ketuanya, O Hara bukan sahaja memberi tekanan dalam kehidupan, tetapi akidah penduduk di situ juga hampir terjejas kerana diarah menyembah matahari.
Ismail Said, 86, atau lebih dikenali sebagai Long berkata, dia yang hidup di tiga kuasa asing dapat merasai keperitan semasa pihak berkenaan menduduki Padang Terap.
Menurutnya, semasa pemerintahan Jepun dia berusia 10 tahun, namun dia dapat merasai pengalaman kezaliman tentera Nippon itu terhadap penduduk di daerah itu.
“Setiap bulan pada 8 hari bulan penduduk di Kuala Nerang diarahkan berkumpul untuk menyanyi lagu kebangsaan Jepun dan mendengar ceramah daripada pemimpin Jepun.
“Sebelum itu semasa matahari terbit, penduduk dan pelajar diarahkan untuk sembah matahari. Bagi mereka yang enggan melakukannya akan diseksa dan ini menyebabkan penduduk terpaksa akur kerana takut hukuman yang akan dihadapi mereka ketika itu.
“Mereka yang membuat kesalahan juga akan diarah minum air hingga kenyang, kemudiannya akan dipijak dengan dilapikkan papan hingga seseorang itu akan mengaku,” katanya yang mampu menyanyi lagu kebangsaan Jepun.
Menurut Long, semasa pemerintahan Jepun terdapat ladang paksa di daerah itu yang ditanam dengan kapas dan penduduk terutamanya lelaki dipaksa bekerja di ladang itu hingga menyebabkan ada yang tidak tahan dan melarikan diri.
Katanya, penduduk bukan sahaja tertekan dengan kekejaman pemerintahan Jepun, malah barangan makanan utama seperti pisang dan ubi juga sangat terhad dan susah untuk mendapatkannya.
“Beras pula sering dirampas Jepun, secara tidak langsung menyebabkan penduduk masa itu bukan saja takut kepada tentera Jepun, tetapi juga kepada perompak yang ganas.
“Semasa pendudukan Jepun itu seorang pegawai kerajaan sanggup menjual kain samping kepada bapa saya dengan nilai 1,000 nilai mata wang Jepun bagi tujuan untuk membeli makanan. Kain itu masih lagi dalam simpanan saya untuk mengenangkan keperitan pemerintahan tentera Jepun pada anak cucu kita hari ini,” katanya.
Komunis ambil kesempatan
Selepas tentera Jepun mengundur dari Malaysia pada 1945, komunis cuba mengambil kesempatan dengan cuba menawan Padang Terap hingga kehidupan penduduk sekali lagi dihantui kekejaman.
Menurut Long, semasa komunis cuba menawan daerah berkenaan beberapa peristiwa hitam berlaku hingga aktiviti kehidupan penduduk di situ turut terjejas.
Bimbang dengan ancaman dari komunis, dia sendiri turut melibatkan diri dengan menjadi polis sukarelawan dan menyahut seruan kerajaan masa itu menentang komunis.
“Selain serangan komunis di balai polis Padang Sanai, beberapa serangan hendap ke atas tentera kita turut berlaku hingga enam anggota turut menjadi korban. Pada masa itu Padang Sanai disenaraikan kawasan hitam bermula dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
“Anggota tentera juga turut mengenakan sekatan kepada orang ramai di setiap jalan bagi memeriksa bekalan makanan mereka kerana bimbang ada pihak yang cuba menyeludupkannya kepada anggota komunis,” katanya.
British mula mentadbir
Bagaimanapun dengan semangat cintakan tanah air akhirnya komunis berjaya dihalau hinggalah British mula mentadbir semula di Tanah Melayu sepenuhnya.
Pemerintahan British sekali lagi memberi kesan kepada penduduk di Padang Terap apabila mereka tidak sebebasnya dalam menentukan hala tuju sebuah negara merdeka.
“Pada masa itu British akan menangkap penduduk kampung yang melibatkan diri dalam Umno dan jika mereka ingin mengembangkan keahlian hanya melalui berbisik sahaja. Semasa itu hanya terdapat 11 ahli Umno di Padang Terap termasuk saya sendiri. Kekejaman British pada masa itu agak lembut dibandingkan dengan pendudukan Jepun yang agak ganas.
“British tidak mahukan orang Melayu berpelajaran dan hanya golongan bangsawan saja diberi pendidikan. Ini menyebabkan golongan nasionalis mula bangun menentang pemerintahan British di tanah air,” katanya.
Menurut Long, kekejaman pihak berkenaan sepatutnya menjadi iktibar kepada generasi hari ini bagi mengekalkan kemerdekaan yang dicapai sekian lama.
"Oleh itu sudah sampai masanya generasi baru hari ini ambil alih dari golongan veteran bagi mengekang kuasa luar yang cuba menapak di negara kita ini semula," ujarnya.
Sumber : Sinar