JANGAN LIBATKAN AGONG



kedah
ALOR SETAR 21 Ogos - Majlis Kerabat Diraja Kedah kesal dengan kenyataan anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan "Malaysian Official 1' (MO1) yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
Yang Dipertuanya Syed Idrus Syed Baharom berkata pihaknya juga kesal dengan ahli politik itu kerana tidak membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
"Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah negara dan bukannya pentadbir negara, jadi kenapa perlu libatkan baginda dalam isu berkaitan politik ini.
"Nak buat apa-apa kena siasat dahulu kerana ini melibatkan maruah Yang di-Pertuan Agong, jadi sekarang Nawawi perlu minta keampunan secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya melalui media," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Anak Bukit di sini.
Beliau turut memberikan peringatan keras kepada semua pihak supaya tidak melibatkan Yang di-Pertuan Agong dalam sebarang isu berkaitan politik yang boleh menjatuhkan maruah institusi diraja.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat dilaporkan berkata polis akan memanggil anggota Parlimen Langkawi itu berhubung kenyataannya Yang di-Pertuan Agong adalah MO1 yang disebut dalam laporan DOJ.
Nawawi bagaimanapun pada hari yang sama membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan berhubung komentarnya yang kononnya mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan DOJ, sambil menyatakan ia telah disalah tafsir.
Sumber : Bernama