USAHA BUAH TIN



5usaha
KULIM 5 Ogos - Perusahaan buah tin di negara ini masih belum mampu menampung permintaan tinggi di pasaran tempatan dan luar negara.
Menyedari buah sunnah ini begitu menjadi tarikan di seluruh negara kerana khasiat dimiliki pada setiap biji buah, daun dan getah, seorang bekas pekerja swasta, Majdi Abd Hamid, 49, bersama isterinya Robiah Ahmad, 47, telah mengusahakan tanah pusaka keluarga dengan penanaman pokok buah tin yang diberi nama Amara Figs Garden.
Menurutnya, perusahaan itu dijalankan sejak Februari lalu dan mengakui pernah mengalami kerugian kerana kurang berpengalaman.
“Selepas ambil keputusan berhenti bekerja kerana mahu pulang ke kampung jaga ibu bapa yang semakin uzur, saya mulai menyertai kursus penanaman sayur fertigasi.
“Namun tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa tahu, saya berkenalan dengan seorang rakan baru yang menanam dan mengusahakan buah tin di ibu negara, dan di situlah timbulnya minat,” ujarnya.
Katanya, bermula dari pertemuan itu dia mula mengkaji kelebihan buah tin melalui pembacaan di Internet dan akhirnya bertemu pengkaji dan pengusaha tanaman, Datuk Syed Elias Syed Ahmad.
“Bila dapat tahu saja, saya mula mengumpul koleksi anak benih buah tin dari spesies yang murah dan mahal sehingga mencecah RM4,000 sepokok iaitu Ponte Teresa manakala jenis keluarga Rimada pula antara RM800 hingga RM2,000 sepokok,” katanya.
Selain itu, bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, penjagaan pokok buah tin ini mudah malah harga buahnya juga mahal dan memang lumayan untuk sesiapa yang ingin mengusahakannya.
“Memang ramai yang minta nak beli buah tin harganya RM80 sekilogram tapi kami tak mampu nak bekalkan kerana baru usahakannya.
“Tapi kita juga ada jual anak pokok. Bagi yang baru berjinak menanam, kita cadangkan ambil dari anak pokok yang sudah stabil iaitu harga RM80 hingga RM200 sepokok,” katanya.
Menurutnya, pokok buah tin ini boleh ditanam dalam pasu besar dan diletakkan di halaman rumah tanpa perlu pengawasan yang rapi.
“Asal air cukup tak terlebih dan suhu yang betul, pokok buah tin anda sudah boleh hidup dan keluarkan buah yang enak dan manis, tak perlu modal mahal,” katanya.
Majdi berkata, kini di ladangnya mempunyai 150 jenis baka pokok tin dan 250 batang pokok matang yang sedang mengeluarkan hasil.
“Dalam tempoh 90 hari atau tiga bulan anak pokok yang stabil disemai putik buah tin akan mulai keluar, penjagaannya tak rumit malah cepat berbuah.
“Kita perlu ada medium atau tanah yang sesuai serta suhu yang tidak terlampau panas atau sejuk dan juga jumlah air yang cukup sebab itu di sini kami menggunakan kaedah fertigasi dan rumah pelindung hujan,” katanya.
Katanya, buah tin jenis Masui Duthine serta Jumbo akan mencecah berat 80 hingga 100gram sebiji dan mendapat permintaan tinggi sama ada dimakan secara segar atau untuk membuat produk hiliran.
“Jenis ini memang besar sedikit buahnya, permintaan pun tinggi dan rasanya memang manis. Sesuai sekiranya ingin membuat jus, dikeringkan atau jem untuk produk hiliran ,” katanya.
Tambahnya, dia juga dalam proses membangunkan tanah berkeluasan dua ekar di Kampung Jangkang, Karangan dengan penanaman pokok buah tin selain pokok makanan sunnah seperti delima dan kurma sebagai agro pelancongan.
“Saya sedang usahakan sebuah ladang untuk agro pelancongan, pengunjung saja boleh melihat sendiri proses penanaman pokok tin malah merasai sendiri keenakannya yang turut akan dijadikan produk hiliran seperti jem dan jus,” katanya.
Oleh : Jamilah Hamzah
Sumber : Sinar