ATM TIDAK AKAN KOMPROMI



13atm
SUNGAI PETANI 13 Ogos - Anggota tentera darat tidak digalakkan bermain aplikasi Pokemon Go terutamanya kawasan kem kerana bimbang ancaman keselamatan negara termasuk keselamatan diri sendiri.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, langkah-langkah susulan untuk membendung permainan itu akan diambil berikutan aplikasi berkenaan banyak negatif daripada kebaikan terutama aspek keselamatan negara dan juga pemain itu sendiri.
“Tidak mustahil, muncul karakter dalam permainan Pokemon Go berada di mana-mana termasuk di kawasan kem namun kita tidak galakkan anggota menggunakan aplikasi ini di dalam kem atau di mana sahaja anggota berada.
“Mungkin karakter itu berada atas bumbung, ia membabitkan soal keselamatan diri anggota itu sendiri. Kalau karakter berada di kawasan larangan ia, melibatkan soal privasi dan keselamatan negara.
“Jadi tentera tidak di galak sama sekali bermain, sekiranya ada anggota memegang gajet memburu karakter dalam kem sendiri, kita mungkin akan ambil tindakan ke atas mereka ,”katanya pada sidang media, selepas menghadiri Majlis Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud di Padang Kawad 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mek) Kem Lapangan Terbang, di sini, semalam.
Menurutnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang meneliti satu pendekatan menyeluruh dan bersama bagi membendung permainan itu dalam kalangan anggota tentera.
“Kebimbangan kami dalam aplikasi permainan Pokemon Go adalah dari segi keselamatan negara termasuklah sama ada ianya memberi ancaman terhadap privasi dan keselamatan kawasan miliki tentera seperti kem, peralatan atau pun anggota sendiri kerana ianya menggunakan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) di mana pemain boleh merakamkan gambar lokasi permainan menerusi kamera yang turut disambungkan dengan talian Internet ,"katanya.
“Raja Mohamed Affandi berkata, belum ada satu ketetapan bersama mahupun arahan rasmi berkenaan perkara ini..
"Namun ATM merupakan satu-satunya organisasi yang melindungi keselamatan negara di tahap tertinggi dan akan memandang serius dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.
Dalam majlis itu, seramai 495 anggota tentera darat termasuk pegawai hadir dan antaranya Panglima Medan Barat, Tentera Darat merangkap Pengerusi Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Jeneral, Datuk Sri Zulkiple Kassim.
Sumber : Sinar